Kadar kemalangan kenderaan perdagangan menurun

Ayob Khan melihat proses timbangan dilakukan sebuah lori semasa meninjau Ops Perdagangan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor di Jalan Bukit Impian 5/1, Taman Impian Emas, Skudai, Johor Bahru hari ini.
Ayob Khan melihat proses timbangan dilakukan sebuah lori semasa meninjau Ops Perdagangan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor di Jalan Bukit Impian 5/1, Taman Impian Emas, Skudai, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kadar kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan di seluruh negeri menurun iaitu 2,897 kes dari Januari hingga Mei berbanding 3,547 kes untuk tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, perbezaan dan penurunan tersebut melibatkan 650 kes atau 18.3 peratus.

Beliau berkata, kemalangan maut melibatkan kenderaan perdagangan juga menurun dengan hanya tiga kes berbanding 16 kes untuk tempoh yang sama tahun lalu.

"Jumlah saman juga menurun iaitu 10,229 bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding 13,420 bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya membabitkan penurunan 23.8 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Ops Perdagangan (Timbang Berat) oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor di Jalan Bukit Impian 5/1, Taman Impian Emas, Skudai, di sini hari ini.

Mengenai Ops Perdagangan, beliau memberitahu, seramai 30 anggota dan pegawai dari JSPT sekitar daerah ini ditugaskan dengan 20 buah kenderaan ditimbang manakala 41 buah kenderaan lagi diperiksa.

Menurutnya, polis menahan seorang daripada 48 pemandu yang diperiksa selepas didapati positif dadah jenis ganja.

"Pemandu berusia 30 tahun dari Kampung Parit Baru, Batu Pahat akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1959," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, 37 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk membawa lebih muatan, tayar kenderaan botak dan tiada alat pemadan api.

Ayob berkata, antara perkara yang difokuskan dalam operasi ialah kenderaan perdagangan yang membawa muatan melebihi berat dan muatan terjatuh, penyelenggaraan kenderaan dan pemandu cuai seperti mengantuk serta tiada pemandu kedua.

Pada operasi sama, polis turut memberi fokus kepada pemandu yang memandu laju atau di bawah pengaruh alkohol dan dadah, tiada lesen memandu dan melanggar lampu isyarat.