Isu tular pegawai, van KKM hanya salah faham: Polis

Klip rakaman CCTV kes itu yang tular di media sosial sebelum ini.
Klip rakaman CCTV kes itu yang tular di media sosial sebelum ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menjelaskan dakwaan terdapat pihak cuba menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tular sebelum ini hanya sebagai salah faham.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya menerima laporan semalam berhubung isu tersebut dan siasatan dijalankan pihaknya.

Beliau berkata, nombor pendaftaran yang ditularkan sebelum ini adalah salah sehingga turut membabitkan kenderaan lain yang tidak terlibat.

"Tiga individu yang diviralkan adalah disahkan sebagai kakitangan KKM dan van itu adalah milik Pejabat Kesihatan Daerah Petaling," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baharudin berkata demikian bagi mengulas mengenai isu yang tular sebelum ini mendakwa ada pihak cuba mengambil kesempatan dan menyamar sebagai kakitangan KKM untuk melakukan ujian saringan koronavirus (Covid-19) di kediaman penduduk.

Mengulas lanjut, Baharudin berkata, KKM juga turut membuat laporan polis hari ini dan mengesahkan kehadiran pegawai mereka di lokasi berkenaan pada jam 2 petang bagi pemantauan Covid-19.

"Polis berharap semua pihak dapat menghentikan sebarang penyebaran gambar tular berkaitan isu ini," katanya.

Sementara itu, KKM menafikan penglibatan tiga lelaki yang menaiki van kementerian tersebut ke sebuah rumah mempunyai kaitan dengan jenayah.

Artikel Berkaitan:

KKM menerusi kenyataan di Facebook hari ini turut mengesahkan bahawa ketiga-tiga individu yang tular itu merupakan kakitangan KKM dan van yang digunakan juga milik kementerian berkenaan.

“Pihak kami telah membuat laporan polis berhubung aduan palsu ini," katanya.