Program air percuma perlu menyeluruh

Rizam Ismail
Rizam Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan program air percuma di Selangor perlu meliputi semua lapisan masyarakat dan tidak hanya tertumpu kepada golongan B40 semata-mata.

Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail berkata, pelaksanaan oleh kerajaan negeri itu dilihat tidak menyeluruh memandangkan hasil kajian oleh pihaknya sebelum ini mendapati golongan B40 hanya menggunakan air kurang daripada 25 meter padu pada setiap bulan.

“Jadi bagaimana pula dengan penduduk di kampung dan kawasan luar bandar yang bukannya dalam golongan B40?.

“Saya kira sepatutnya selepas Kerajaan Selangor mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (Splash), semua lapisan masyarakat di negeri ini dapat menikmati air percuma ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Air percuma di Selangor hanya untuk golongan B40]

Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2019 semalam, Menteri Besar, Amirudin Shari memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan membuat penjajaran semula peruntukan program air percuma berkenaan di mana fokus akan diberikan kepada golongan sasar yang berada dalam golongan B40.

Malah, Kerajaan Selangor juga bersetuju untuk menaikkan jumlah air percuma daripada 20 meter padu sebulan kepada 25 meter padu sebulan.

Rizam yang juga Adun Sungai Ayer Tawar berkata, pihaknya akan membawa perkara itu dalam perbahasan Belanjawan Selangor 2019 di Sidang Dun selepas ini bagi memperjuangkan nasib rakyat di negeri ini.

“Sepatutnya pemberian ini perlu menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada golongan B40 semata-mata dan saya akan sentuh lebih lanjut mengenai perkara ini dalam Sidang Dun nanti,” katanya.

Artikel Berkaitan:


Dalam pada itu, menurutnya, pembentangan bajet tersebut juga dilihat tidak menyentuh tentang bantuan bagi meringankan beban peneroka dan petani sedia ada di negeri ini yang semakin tertekan dengan peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata, insentif tambahan buat peneroka Felda dan petani tidak disentuh dalam pembentangan bajet tersebut walaupun terdapat beberapa penambahbaikan dibuat kerajaan negeri.

“Contohnya Kerajaan Selangor ada sebut tentang tanaman Rock Melon namun bagaimana pula dengan nasib peneroka Felda, petani dan sebagainya yang kini sedang mengalami kesusahan berikutan peningkatan kos sara hidup,” katanya.