Peniaga warga asing ‘ghaib’

Premis perniagaan di KL kini lengang daripada kebanjiran peniaga dan pekerja warga asing.
Premis perniagaan di KL kini lengang daripada kebanjiran peniaga dan pekerja warga asing.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peniaga dan pembantu kedai warga asing ghaib di ibu kota.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini mendapati majoriti premis perniagaan kini dijaga oleh warga tempatan.

Rasa bagaikan mimpi apabila tiada lagi kelihatan situasi pengunjung premis kedai dilayan oleh peniaga atau pembantu warga asing.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan sebelum ini memaklumkan akan bertindak tegas dengan menguatkuasakan Undang-undang Kecil (UUK) sedia ada bagi memastikan tiada warga asing terlibat dalam industri perniagaan khususnya sektor penjajaan.

Menurutnya, dalam perancangan aktiviti perdagangan dan perniagaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghadapi kebanjiran peniaga warga asing khususnya dalam sektor tred, perniagaan dan industri serta penjajaan.

Berikutan itu beberapa siri tindakan penguatkuasaan dilaksanakan DBKL di premis-premis perniagaan sekitar ibu negara.

Kaedah itu membuahkan hasil apabila kurang kelibat peniaga atau pembantu kedai warga asing di sekitar bandar raya.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Mira berkata, kini dirinya rasa lebih selamat membeli-belah di Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebelum ini kebanyakan kedai dijaga oleh warga asing, meskipun ada antaranya yang fasih berbahasa Melayu dia tetap rasa tidak selesa.

“Suasana sekarang rasa lebih selamat, banyak kedai dijaga orang kita malah pengunjung warga asing pun berkurangan.

“Kepada peniaga tempatan, tolonglah jangan guna cara mudah kaut keuntungan dengan sewakan kedai kepada warga asing,” katanya.

Seorang lagi pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Azli berkata, kini keadaan di Kuala Lumpur boleh digambarkan sebagai situasi berada di ‘Malaysia’ sebenar.

Katanya, sebelum ini bukan sahaja pekerja malahan kehadiran ribuan pengunjung warga asing menyesakkan mata dan telinga.

“Sebelum ini kalau di Chow Kit dan Jalan TAR sahaja cukuplah kita rasa macam berada di negara asing belum lagi di kawasan Kotaraya dan sebagainya.

“Saya harap tindakan tegas yang diambil DBKL ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diteruskan supaya kami rakyat Malaysia tidak merasakan seperti pendatang dan pelancong di negara sendiri,” katanya.