Pertikaian transisi kuasa PM bukti PH tak belajar dari kesilapan

MUZZAMMIL
MUZZAMMIL
A
A
A

SHAH ALAM - Pertikaian yang tidak berkesudahan berhubung transisi kuasa Perdana Menteri yang sedang dicaturkan, menunjukkan Pakatan Harapan (PH) masih belum belajar dari kesilapan yang dilakukan sebelum ini.

Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Nasional, Muzzammil Ismail berkata, jelas PH masih sukar menyelesaikan masalah yang sama.

Beliau berkata, kumpulan reformis Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat semakin keterlaluan menyanggah Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri dan disebabkan itu tarikh membuat keputusan calon mengenai hal itu daripada PH masih bertangguh.

Menurutnya, parti Warisan Sabah (Warisan), DAP dan parti Amanah Negara (Amanah) pula dilihat mahukan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, sebaliknya PKR tidak pernah merestui.

Katanya, coretan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Maszlee Malik berkenaan ‘galah menjolok buah’ menimbulkan kontroversi dalam kalangan PH.

"PH hanya menginginkan kuasa sedangkan tiada satu cadangan atau inisiatif yang diterangkan kenapa mereka mahu kembali berkuasa.

"PH juga hanya menggunakan mandat rakyat sedangkan selama 22 bulan mereka tidak mahu belajar dari kesilapan mengurus politik sendiri," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Terdahulu, PH yang kini digelar sebagai PH Plus susulan penyertaan kumpulan Dr Mahathir dan Parti Warisan, mendakwa memiliki sokongan untuk kembali menjadi kerajaan dan dilaporkan telah bermesyuarat pada Selasa minggu lalu di Ibu Pejabat PKR bagi membincangkan secara menyeluruh pendirian setiap parti dalam soal mendapatkan semula mandat rakyat.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun mesyuarat selama tiga jam itu tidak mempunyai kata putus dan keputusan termasuk berkaitan calon Perdana Menteri hanya akan dimuktamadkan dalam masa seminggu.

Dalam pada itu Muzzammil berkata, rakyat terutamanya anak muda muak dengan perbalahan politik angkara berebut kuasa dan saling mengkhianati.

"Dari sudut lain, parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) juga perlu berhati-hati agar jangan mengulangi silap yang sama.

"Realitinya, rakyat dapat melihat kecekapan pentadbiran kerajaan PN dan rakyat amat selesa dengan kerajaan pada hari ini yang lebih stabil dari segi politik dan pengurusan awam," katanya.