Pokok lidah jin tidak berada di tempat sepatutnya

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SEJAK dahulu lagi Merak Jalanan memang suka menanam pelbagai jenis pokok di halaman rumah. Bukan sahaja pokok bunga, tetapi pokok-pokok yang bermanfaat untuk masakan seperti pokok pandan, kari, kunyit, kesom dan sayuran-sayuran.

Oleh kerana tinggal di bandar, pokok-pokok berkenaan terpaksa ditanam di dalam pasu.

Bagi mereka yang selalu berkecimpung dalam dunia tanaman, sudah pasti mengetahui bahawa tanah yang digunakan untuk diletak di dalam pasu mempunyai bahan organik yang tidak sesuai jika diletakkan di dalam rumah.

Kerap kali juga apabila Merak Jalanan membeli tanah organik di pusat semaian, tanah berkenaan akan berbau busuk disebabkan pelbagai campuran dan mungkin sudah bercampur najis haiwan.

Disebabkan tanah tersebut untuk menyuburkan pokok, maka Merak Jalanan berpandangan ia lebih baik sebagai faktor untuk menyihatkan lagi pokok yang ditanam.

Tetapi apabila orang ramai menggunakan tanah yang sama, diletakkan di dalam pasu untuk menanam pokok lidah jin seperti yang viral ketika ini maka lebih banyak kemudaratan yang akan wujud kelak.

Ada juga yang meletakkan pokok tersebut di atas meja makan bahkan di dalam bilik tidur kononnya untuk menambah oksigen dan berasa lebih segar.

Merak Jalanan bimbang jika sebelum ini ramai yang sihat walafiat, akan jatuh sakit disebabkan pokok tersebut.

Artikel Berkaitan:

Seperti yang dinyatakan seorang ahli kimia, Dr Fatimah Salim dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor, pokok di dalam bekas menggunakan tanah boleh membiakkan mikro organisma, seterusnya menjejaskan kesihatan golongan tertentu.

Beliau berkata, tanah adalah tempat paling kondusif untuk mikroorganisma bermandiri kerana kandungan bahan organik, inorganik dan mineral yang tinggi.

Katanya, setiap jenis tanah didiami mikroorganisma yang berbeza seperti bakteria, alga, kulat, protozoa, actinomycetes dan ciliata. Setiap satu gram tanah yang subur mengandungi 10 bilion sel mikro organisma terutama berdekatan dengan akar pokok (rhizosphere).

Katanya, sebab itu tanah tidak sepatutnya di simpan dalam rumah, apa lagi untuk individu yang lemah sistem imuniti kerana akan mudah terkesan dengan kehadiran mikroorganisma itu.