Bila berbohong dianggap biasa

MERAK Jalanan selalu perasan, orang sekarang bukan tak tahu beza bohong dengan jujur. Cuma kita makin pandai memilih bila mahu jujur, dan bila mahu ‘selamatkan keadaan.
Kita anggap bohong kecil kita tak menyusahkan sesiapa dan tak menyakitkan hati orang. Padahal sama ada bohong kecil atau bohong besar tetap disebut pembohongan juga namanya.
Kita bohong untuk elak konflik. Bohong supaya nampak baik. Bohong supaya orang tak tanya lebih jauh. Merak pasti kita semua pernah guna ayat ‘on the way’ walaupun kita masih di rumah. Kita anggap itu ‘bohong sunat’ dan lama kelamaan bohong itu jadi refleks. Tak perlu fikir panjang, mulut terus jalan.
Rasulullah SAW sudah lama mengingatkan 'Hendaklah kamu berlaku jujur, kerana sesungguhnya kejujuran membawa kepada kebaikan...' dan akhirnya ke syurga.
Berdusta pula kata Baginda, akan membawa ke arah kebinasaan. Hadis ini ringkas, tapi maknanya berat. Sebab kebinasaan itu jarang datang sekali gus. Ia datang sikit-sikit, melalui kebiasaan kita anggap remeh.
Merak Jalanan juga mahu kongsi petikan kata-kata Imam al-Ghazali yang pernah menyebut hati yang biasa berdusta akan menjadi gelap sehingga kebenaran pun terasa asing. Mungkin sebab itu, hari ini, orang jujur sering dianggap pelik sementara yang pandai berhelah pula dipuji sebagai bijak.
Merak Jalanan tak bercakap soal jadi manusia sempurna. Cukuplah kalau kita mula dengan satu perkara kecil iaitu berani bercakap benar, walaupun tak sedap didengar. Atau sekurang-kurangnya, berani diam daripada menipu.
Sebab kejujuran mungkin tak selalu menyenangkan. Tapi bohong kalau dibiarkan, perlahan-lahan akan mengambil lebih banyak daripada yang kita sanggup hilang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
