Prihatin jangan sekadar lakonan

KITA ini cepat benar mendabik dada konon masyarakat paling penyayang.
Ayat empati laju keluar dari mulut, poster inklusif cantik terpampang, media sosial pula sarat dengan doa dan kata manis. Tapi realitinya, bila sampai di jalanan, prihatin itu selalunya tinggal lakonan.
Ambil sahaja isu parkir OKU. Tanda besar, warna terang, mesej jelas. Namun masih ada yang buat-buat buta. Alasannya kejap saja, nak cepat, hujan turun.
Hakikatnya mudah... kita pentingkan selesa sendiri, susah orang lain nombor dua.
Untuk OKU, jarak tambahan itu bukan soal malas, tapi soal mampu atau tidak.
Laluan kuning berbonjol pula nasibnya lebih malang. Ia direka untuk keselamatan orang kurang upaya penglihatan, tapi kita jadikan tempat parkir motosikal, letak barang, pasang gerai.
Kita lintas sambil selamba, sebab kita tak perlu bergantung pada laluan itu. Bila tak rasa susah, kita anggap ia tak penting. Lebih menyakitkan, ada yang masih berani mempersoalkan OKU bila mereka bersuara.
Konon ‘banyak sangat minta’, ‘sabar sikitlah’. Ini bukan soal minta simpati. Ini soal hak. Hak untuk bergerak, hak untuk selamat, hak untuk hidup selesa.
Lucunya, bila hak kita sendiri disentuh, cepat sahaja naik darah. Parkir kita diambil orang, kita mengamuk. Laluan kita disekat, kita membebel.
Prihatin sebenar bermula dengan pilihan kecil, jangan rampas parkir OKU, jangan halang laluan khas, dan jangan jadi manusia yang hanya pandai bercakap.
Bandar tak akan jadi beradab hanya dengan bangunan tinggi. Ia jadi beradab bila masyarakatnya tahu malu.
Kalau empati kita hanya hidup di media sosial, itu bukan prihatin tapi itu hipokrit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
