Bunga Raya 7s intai empat terbaik Hangzhou 2022

Skuad Bunga Raya 7s berlepas ke Incheon, Korea malam ini menyertai Siri Ragbi 7s Asia. - Foto KRM
Skuad Bunga Raya 7s berlepas ke Incheon, Korea malam ini menyertai Siri Ragbi 7s Asia. - Foto KRM
A
A
A

PENGURUS pasukan ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki kebangsaan, Ahmad Effendy Abdul Razak yakin Bunga Raya 7s mampu mencapai sasaran empat pasukan terbaik pada Sukan Asia Hangzhou 2022, China dari 23 September hingga 8 Oktober depan.

Malah, Bunga Raya 7s diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan dan Taiwan, Ahmad Effendy yakin dengan persiapan rapi dan kemampuan skuad negara melangkah ke suku akhir sebagai dua pasukan terbaik kumpulan itu.

“Saya rasa peluang untuk kita cerah mengikut undian. Kita pernah bertarung dengan Taiwan di final Kejohanan Tujuh Sebelah Asia Tenggara (SEA 7s) di Singapura dan kita mampu memberikan cabaran sengit sebelum tewas tipis.

“Semua aspek diambil kira termasuk sains sukan, pemakanan dan pemulihan... jadi kita yakin dalam mencapai sasaran itu,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Beliau berkata, menerusi perkembangan baik dalam tahap ragbi di Malaysia dengan bantuan Program Pembangunan Ragbi Negara (PPRN), skuad negara boleh menjadi pencabar pingat di peringkat Asia pada masa akan datang.

Beliau turut memaklumkan, pasukan Bunga Raya 7s lelaki dan wanita negara akan beraksi dalam Siri Ragbi 7s Asia di Incheon, Korea Selatan hujung minggu ini, salah satu medan persiapan ke Sukan Asia.

Pada Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, skuad negara menamatkan saingan di tempat kelima, manakala Taiwan berada di kedudukan ketujuh. - Bernama

Artikel Berkaitan: