Malaysia diiktiraf 5 negara terbaik di dunia kawal Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia diiktiraf sebagai antara lima negara terbaik di dunia dalam mengawal pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia menjadi salah satu negara contoh, iaitu penerimaan rakyat terhadap tindakan kerajaan dalam mengekang wabak berkenaan yang mendapat pengiktirafan dunia dalam satu tinjauan global.

"Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berada dalam kedudukan antara lima negara terbaik dunia dengan ‘public approval’ atau penerimaan rakyat yang tertinggi.

"Perdana Menteri mengambil keputusan besar dan mencabar dalam memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu selain turut melaksanakan kawalan ketat menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan yang bertujuan mengekang penularan wabak dalam komuniti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Menurutnya, hasil kerjasama baik seluruh rakyat Malaysia dalam mematuhi setiap arahan dikeluarkan telah membantu kerajaan dalam melandaikan lekuk Covid-19 di negara ini.

"Hari ini memasuki hari ke-89 rakyat Malaysia menjalani PKP, yang pastinya agak sukar pada peringkat permulaannya apatah lagi pandemik terpahat sebagai sejarah kehidupan kita, ada juga antara kita terpaksa menghadapi kawalan yang sangat ketat apabila PKPD diperkenalkan.

"Kerjasama yang diberikan seluruh rakyat serta pengorbanan besar daripada (petugas) barisan hadapan, (hasilnya) kita telah berjaya mengawal jangkitan Covid-19 dengan meratakan lengkung pandemik itu," katanya.

Dalam pada itu Ismail Sabri turut memaklumkan, sidang media harian pelaksanaan PKP akan diadakan hanya tiga kali seminggu iaitu Isnin, Rabu dan Jumaat bermula esok.

Mengenai golongan yang diarah menjalani kuarantin di rumah, Ismail Sabri berkata, mereka yang terlibat diwajibkan memuat turun aplikasi MySejahtera dan memakai 'wrist band' sebagai tanda pengenalan perintah 'home quarantine'.

Artikel Berkaitan:

Katanya, individu yang mengingkari proses kuarantin wajib dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan boleh dikenakan kompaun RM1,000 atau dihadapkan ke mahkamah.

Jelasnya, sejak 10 Jun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyaring 2,921 individu di semua pintu masuk negara dan daripada jumlah itu, 2,911 didapati negatif manakala 10 individu yang positif dibawa ke hospital untuk rawatan. - Bernama