Covid-19 tidak harus dilihat sebagai peluang komersial

Dr N Ganabaskaran
Dr N Ganabaskaran
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bimbang dengan pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil peluang daripada wabak koronavirus (Covid-19) untuk keuntungan komersial.

Presidennya, Dr N Ganabaskaran berkata, pihak MMA mendapati terdapat 'orang tengah' yang tidak mempunyai kaitan dengan sektor kesihatan mengambil kesempatan daripada situasi Covid-19 dengan pengkomersialan saringan Covid-19.

Menurutnya, pengiklanan khidmat saringan itu dibuat dalam talian secara terbuka namun tiada tindakan yang diambil terhadap perkara tersebut.

"Sebelum ini beberapa laporan telah dibuat mengenai proses saringan yang tidak mengikut protokol yang sepatutnya, bagaimanapun laporan itu tidak diendahkan.

"Tanpa penguatkuasaan, undang-undang yang wujud bagi mengawal selia perkara ini tidak akan memberi sebarang makna dan amat mengejutkan bagaimana beberapa pengiklanan penyaringan yang dikomersialkan ini dibenarkan tanpa pelaksanaan protokol yang tepat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, krisis Covid-19 tidak seharusnya dijadikan sebagai peluang untuk menambah pendapatan atau meningkatkan profil pendapatan dengan berkompromi terhadap keselamatan dan kualiti perkhidmatan yang diberikan.

Jelasnya, perkhidmatan penjagaan kesihatan tidak boleh dianggap sebagai komoditi, di mana keuntungan tidak sepatutnya diutamakan.

"Sebilangan besar masyarakat yang tidak mengetahui mengenai protokol ketat yang harus dipatuhi akan lebih tertarik dengan harga yang lebih rendah, tanpa menyedari terdapat kompromi dalam kualiti penjagaan kesihatan yang diterima.

Artikel Berkaitan:

"Kerana itu pengilang, pembekal dan penyedia perkhidmatan mesti bertanggungjawab dalam pemasaran, penjualan dan pengedaran barang dan perkhidmatan penting serta mematuhi undang-undang yang sedia ada," katanya.

Sementara itu, pihak MMA turut mengingatkan kepada semua pengamal perubatan supaya menjaga etika dan profesionalisme di tahap yang tinggi dalam memberikan perkhidmatan kerana kompromi dalam kualiti penjagaan kesihatan akan menjurus kepada implikasi undang-undang.

"Kami memohon agar pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat memaparkan secara umum audit yang dibuat ke atas makmal-makmal dan bagaimana ujian-ujian ini dijalankan.

"Akta Makmal Patologi 2007 yang diluluskan 13 tahun yang lalu seharusnya telah diwartakan sekarang," katanya.