Peniaga R&R Gambang Timur gembira kembali berniaga

SOP terkini di medan selera Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gambang Timur.
SOP terkini di medan selera Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gambang Timur.
A
A
A

KUANTAN - Rata-rata peniaga di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gambang Timur meluahkan rasa gembira dan bersyukur apabila kembali menjalankan perniagaan selepas hampir tiga bulan tidak beroperasi.

Pengerusi Persatuan Peniaga R&R Gambang Timur, Abdul Karim Mat,41, berkata, beliau berterima kasih di atas kebenaran dan saranan kerajaan yang mengembalikan hak untuk kembali berniaga.

"Setelah hampir tiga bulan terpaksa tutup premis dan duduk di rumah, akhirnya kami dapat berniaga semula. Terima kasih kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan Anih Berhad yang juga memberi kebenaran untuk kami beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan kepada kami.

"Kami dinasihatkan untuk menjaga kebersihan memakai topeng muka setiap masa, menyediakan cecair pembasmi kuman kepada pelanggan yang datang dan untuk pelanggan pula ada kaunter pendaftaran masuk premis. Pelanggan perlu mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera atau secara manual," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini semalam.

Abdul Karim berkata, kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan 70 tahun ke atas tidak digalakkan berada di medan selera sepertimana SOP kerajaan.

Tinjauan Sinar Harian turut mendapati mereka telah meletakkan penanda dua pelanggan untuk satu meja dengan susunan selang seli bagi memastikan penjarakkan sosial dipatuhi dengan sempurna.


Norhayati di gerai makan nombor 9 miliknya.
Norhayati di gerai makan nombor 9 miliknya.

Medan selera tersebut kini dihadkan hanya kepada 150 orang pelanggan pada satu masa berbanding lebih 300 orang sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Peniaga Nasi Campur, Norhayati Md Derus,53, berkata, beliau terharu dan bersyukur setelah dibenarkan berniaga semula meskipun perlu mengikuti SOP.

"Memang apabila diberitahu boleh beroperasi saya rasa sangat gembira sebab dah terputus pendapatan sejak PKP. Sekarang dah boleh jana pendapatan semula.

"Hari pertama pun dah seronok berniaga walaupun orang tak ramai macam biasa. Harapan nanti selepas ini pelanggan dapat sama-sama menjaga SOP dan tempoh niaga dipanjangkan dari semasa ke semasa.

"Semalam (kelmarin), semua penggerai bergotong-royong dari jam 11 pagi hingga 5 petang untuk menjayakan SOP ini.

"Kita sediakan sistem nombor di meja pendaftaran untuk mengetahui secara efektif total pengunjung pada satu satu masa. Di ruang solat juga ada kaunter pendaftaran," katanya yang menjalankan perniagaan penghantaran makanan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).