KPM jamin PdP dalam normal baharu selamat

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan 24 Jun ini sebagai tarikh pembukaan sekolah melibatkan murid SPM, SVM, STPM dan STAM serta peperiksaan antarabangsa yang serata bagi seluruh negara. - Foto Bernama
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan 24 Jun ini sebagai tarikh pembukaan sekolah melibatkan murid SPM, SVM, STPM dan STAM serta peperiksaan antarabangsa yang serata bagi seluruh negara. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) normal baharu yang akan ditempuhi pelajar sejurus sekolah dibuka pada 24 Jun ini akan berlangsung dalam keadaan selamat.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang untuk menghantar anak mereka ke sekolah, sebaliknya perlu memainkan peranan dengan memastikan keadaan kesihatan pelajar tersebut sebelum dihantar ke sekolah.

“Pergerakan pelajar juga akan sentiasa dipantau oleh guru. Kita cukup teliti dalam menghasilkan garis panduan tersebut bersama KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), garis panduan itu bermula dari pagar sekolah sejurus pelajar tiba di sekolah sehingga mereka pulang.

"Peranan ibu bapa amat kita hargai, pastikan anak-anak yang tidak sihat jangan dihantar ke sekolah, ini cukup penting. Ibu bapa lebih mengetahui keadaan anak-anak mereka, kalau tidak sihat ibu bapa perlu ambil inisiatif supaya anak-anak ini duduk di rumah atau dibawa menerima rawatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual khas berkenaan pembukaan semula sekolah di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Rabu lepas, Radzi mengumumkan sekolah di seluruh negara akan dibuka semula mulai 24 Jun ini, namun hanya melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam dan antarabangsa yang setara pada tahun ini, membabitkan 500,444 pelajar di 2,440 sekolah menengah kebangsaan dan sejumlah sekolah antarabangsa.

Beliau berkata, ia membabitkan pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa.

Sementara itu, Radzi menjelaskan, pemilihan hari Rabu sebagai hari pertama persekolahan bagi pelajar tingkatan lima, tingkatan enam, vokasional dan STAM adalah berdasarkan tujuan strategik.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pembukaan sesi persekolahan merupakan satu operasi yang besar dan kementerian memerlukan tempoh tiga hari atau dua hari untuk sesetengah negeri, bagi melihat isu tertentu yang perlu dikemukakan dan diperbaiki pada hujung minggu atau jika terdapat perubahan yang perlu dibuat terhadap garis panduan.

“Ia adalah keputusan strategik, supaya pelajar boleh pergi ke sekolah dengan selamat dan untuk memastikan jika terdapat sebarang isu, kita boleh mengemukakannya pada hujung minggu, jadi pelajar boleh kembali (ke sekolah) pada Isnin berikutnya dengan keadaan yang lebih baik.

“Ini adalah pengalaman pertama kita, jadi kita perlu benar-benar berhati-hati dan teliti. Kita perlu mempertimbangkan semua faktor daripada pelbagai sudut,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi berharap semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh KPM dalam menjamin keselamatan dan kesihatan pelbagai pihak.

“Ia bukan sahaja perlukan peranan guru, tetapi pelajar dan ibu bapa juga turut memainkan peranan. Garis panduan ini akan ditambah baik dari masa ke masa,” katanya.- Bernama