Suami isteri suspek pecah rumah

No Image Caption
A
A
A

PASIR PUTEH - Penangkapan pasangan suami isteri Khamis lalu dijangka dapat membantu polis menyelesaikan banyak kes pecah rumah dalam kawasan pentadbiran Balai Polis Cherang Ruku.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintenden Abd Rozak Mohamad berkata, hasil siasatan mendapati suami berusia 37 tahun dan isterinya berusia 32 tahun melakukan jenayah itu secara bersama.

Katanya, mereka direman selama empat hari berakhir hari ini dan akan disambung bagi membantu siasatan.

“Suspek yang merupakan penduduk tempatan bergerak dengan kereta Perodua Kancil dengan meninggalkan tiga anak yang masih kecil kepada datuk mereka.

“Mereka menggunakan pelbagai kaedah termasuk mengumpil pintu dan tingkap,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh di sini, semalam.

Katanya, tangkapan di satu rumah di Kampung Pak Mayong, Semerak jam 4.30 pagi itu adalah hasil maklumat orang ramai.

“Kita menemui pelbagai barangan mangsa seperti telefon pintar, barang kemas, kasut, jam, kaca mata, beg dan helmet bernilai lebih RM20,000.

“Barangan itu daripada lima rumah yang dipecah masuk dan kita percaya dapat mengesan banyak lagi barangan kerana mereka dipercayai terlibat dalam banyak kes tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Abd Rozak berkata, kedua-dua suspek positif dadah methaphetamine.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil membantu polis menjalankan siasatan.