Moga pendirian Adun konsisten

Penduduk menunjukkan bantahan mereka terhadap operasi kuari batu dalam pertemuan bersama Sinar Harian, semalam.
A
A

BALING - Penduduk sekitar Gunung Pulai yang membantah operasi kuari batu di kawasan gunung berkenaan mengharapkan keputusan positif bagi pertemuan 29 Januari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bantah Operasi Kuari Gunung Pulai, Sabri Mahmud berkata, pertemuan itu antaranya melibatkan seorang wakil penduduk diwakili seorang imam masjid, Adun Bayu, pihak syarikat dan pejabat Daerah dan Tanah Baling.

Menurutnya, penduduk masih samar apa akan dibincangkan dalam pertemuan itu, bagaimanapun berharap ia membawa jalan penyelesaian terbaik.

“Perbincangan ini mungkin berkaitan mengapa penduduk membantah atau penerangan kepada wakil kami supaya dapat jelaskan pula kepada penduduk supaya dapat terima operasi ini.

“Apa bentuk mesyuarat itu kita belum tahu lagi, penduduk begitu ternanti-nanti,” katanya.

Beliau berkata, Adun Bayu, Abd Nasir Idris juga diharap konsisten membantu penduduk hinggalah projek ini dibatalkan.

“Kami berharap beliau tidak mengubah pendirian walaupun ditekan,” katanya.

Beliau berkata, tidak wajar operasi itu dijalankan dalam keadaan kawasannya berhampiran penempatan penduduk.

“Apa yang kami faham operasi kuari perlu dijalankan pada jarak tiga kilometer dan ke atas dari rumah orang kampung.

“Tetapi kawasan kediaman penduduk kebanyakan dekat dengan kawasan operasi, paling dekat ialah 200 meter dengan kawasan kuari,” katanya.

Sementara itu, wakil penduduk Tok Bandar Pulai berkata, hampir 20 kampung bakal menerima implikasi sekiranya operasi itu dijalankan.

“Sepanjang tiga kilometer dari kawasan operasi kuari ada banyak kampung. Jumlah kariah Masjid Pulai sahaja ada 3,000 penduduk.

“Musibah ini terutamanya pencemaran habuk juga akan memberi kesan kepada penduduk di kawasan Kampung Sera dan Teluk Teduri,” katanya.

Katanya, sumber minuman termasuk kawasan pertanian akan tercemar.

“Selain itu, mata pencarian penduduk yang bergantung kepada sumber baja burung layang-layang dan tahi kelawar akan terjejas,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia