Penuntut rugi RM7,550 terpedaya iklan iPhone murah

M Zambri Mahmud
M Zambri Mahmud
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang penuntut berputih mata untuk memiliki telefon pintar jenis iPhone Eleven Pro Max yang diiklankan dengan harga murah di Instagram apabila ditipu sebanyak RM7,550.

Kejadian pada Jumaat lalu apabila lelaki berusia 20 tahun berminat hendak membeli iPhone Eleven Pro Max selepas melihat iklan diletakkan dalam laman sosial itu.

Menurut sumber, mangsa kemudian berurusan dengan seorang lelaki dan selepas menyatakan persetujuan untuk membeli iPhone berkenaan, suspek meminta agar mangsa memasukkan RM1,550 ke dalam akaun bank diberikan.

"Mangsa kemudian membuat pindahan wang seperti yang diminta ke dalam akaun diberikan suspek pada keesokan harinya iaitu Sabtu lalu.

"Namun, suspek meminta mangsa membuat penambahan wang sebanyak RM2,500 atas alasan sebagai caj insurans Kastam bagi membuktikan bahawa iPhone tersebut bukan barang seludup," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Sumber berkata, mangsa tanpa sebarang syak membuat pemindahan wang seperti yang diarahkan ke dalam akaun bank baharu diberikan suspek pada hari sama.

"Selepas melakukan pindahan wang tersebut, suspek menghubungi mangsa lagi dan menyuruh memasukkan wang RM1,500 kerana akaunnya 'invalid' untuk melakukan pemindahan wang semula kepada mangsa.

"Tanpa berfikir panjang, mangsa terus memasukkan wang yang diminta, tetapi beberapa minit kemudian selepas selesai melakukan pemindahan, suspek menghubungi mangsa memaklumkan kononnya akaun diberi penuntut itu 'invalid' untuk dia membuat pemindahan wang.

Artikel Berkaitan:

"Suspek meminta mangsa memasukkan RM2,000 ke dalam akaun sama sebelum berjanji akan memasukkan semula baki wang ke dalam akaun mangsa, tetapi dalam masa sama meminta agar diberi masa kepadanya sehingga petang bagi menyelesaikan masalah bank tersebut," katanya.

Kata sumber, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas suspek tidak menghubunginya seperti yang dijanjikan selain gagal berhubung dengan suspek sebelum membuat laporan polis Isnin lalu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, modus operandi suspek adalah dengan menawarkan penjualan telefon pintar iPhone Eleven Pro Max yang tidak wujud di laman Instagram dengan harga murah.

“Polis sudah mengambil keterangan mangsa dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan,” katanya.