Guna resit bank palsu beli IPhone 14 Pro Max RM7,350

Suspek lelaki tempatan berusia 24 tahun itu ditahan di sebuah pasar raya pada Jumaat. Foto: IPD Kulai
Suspek lelaki tempatan berusia 24 tahun itu ditahan di sebuah pasar raya pada Jumaat. Foto: IPD Kulai
A
A
A

KULAI - [KEMAS KINI] Polis menahan seorang lelaki atas dakwaan mengemukakan resit pembayaran palsu bagi pembelian telefon bimbit di Indahpura pada Khamis lalu.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Yusof Othman, lelaki tempatan berusia 24 tahun itu ditahan di sebuah pasar raya di Taman Sutra Utama Skudai, sekitar jam 2 petang pada Jumaat.

"Pada 9 Jun lalu, sekitar jam 5.30 petang, lelaki berkenaan telah mengunjungi sebuah premis perniagaan telefon bimbit bagi membeli telefon bimbit jenis IPhone 14 Pro Max berharga RM7,350.

"Lelaki berkenaan juga telah meyakinkan pengadu (peniaga) bahawa dia telah membuat pembayaran awal sebanyak RM500 ke akaun syarikat sebelum sekali lagi menunjukkan resit pembayaran online palsu bahawa dia telah membuat pembayaran penuh RM6,850 ketika membuat pembelian berkenaan.

"Pengadu (peniaga) hanya sempat mengambil butiran nama dan nombor telefon suspek semasa urusan jual beli tersebut.

"Pengadu bagaimanapun membuat laporan polis setelah semakan mendapati tiada bayaran masuk ke dalam akaun syarikat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, polis turut membuat membuat rampasan sebuah telefon bimbit tiruan jenama IPhone 14 Pro Max, sebuah telefon bimbit jenama IPhone 14 Pro Max, pakaian suspek, topi dan sepasang kasut.

"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan jenayah.

"Suspek akan ditahan reman selama empat hari mulai 11 Jun 2023 hingga 14 Jun 2023 bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan juga dikenakan denda," katanya.