'Rindu saya pada masjid dah terubat'

Kesemua jemaah yang terpilih menunaikan solat Jumaat pada hari ini meluahkan rasa syukur kerana dapat kembali semula berjemaah di masjid seperti sebelum ini. Gambar kecil: Nor Hisham
Kesemua jemaah yang terpilih menunaikan solat Jumaat pada hari ini meluahkan rasa syukur kerana dapat kembali semula berjemaah di masjid seperti sebelum ini. Gambar kecil: Nor Hisham
A
A
A

IPOH - Kebenaran menunaikan solat Jumaat seramai 40 jemaah memberikan kegembiraan kepada masyarakat Islam di negeri ini selepas tiga bulan tidak dapat menunaikan solat berjemaah di masjid.

Bagi seorang jemaah, Nor Hisham Mohd Idris, 55, kerinduan terhadap masjid kini terubat apabila dia terpilih sebagai salah seorang jemaah di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) di sini.

Menurutnya, dia merupakan salah seorang ahli kariah masjid memandangkan tempat kerja berhadapan dengan masjid tersebut iaitu di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh.

"Alhamdulillah, syukur sangat-sangat sebab masjid ini saya anggap macam rumah pertama saya sebab bila masuk masjid ini kita rasa lebih selesa dan aman. Masjidlah tempat paling aman dalam dunia bagi saya, tak ada tempat lain lagi.

"Cuma saya harap akan ada lebih ramai generasi muda yang tampil untuk bersama-sama menunaikan solat berjemaah di masjid ini.

"Kita akan sangat menghargai bila kita kehilangan sesuatu," katanya kepada pemberita selepas ditemui menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak), di sini.

Turut menunaikan solat Jumaat di masjid sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; beberape Exco Perak; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim yang juga pengerusi masjid; Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri yang lain.

Artikel Berkaitan:

Imam Besar Masjid Sultan Idris Shah ll (Masjid Negeri Perak), Abdul Farid Salleh, mengimamkan solat Jumaat yang turut dihadiri Ahmad Faizal dan beberapa pegawai kanan kerajaan pada hari pertama pelaksanaan solat Jumaat dengan jumlah jemaah seramai 40 orang.
Imam Besar Masjid Sultan Idris Shah ll (Masjid Negeri Perak), Abdul Farid Salleh, mengimamkan solat Jumaat yang turut dihadiri Ahmad Faizal dan beberapa pegawai kanan kerajaan pada hari pertama pelaksanaan solat Jumaat dengan jumlah jemaah seramai 40 orang.

Sementara itu, seorang warga emas, Mohd Mohtar Hamzah, 70, berkata, dia mendapat panggilan daripada pihak masjid pada Khamis lalu memaklumkan bahawa namanya terpilih menunaikan solat Jumaat.

Menurutnya, tempoh tiga bulan tidak dibenarkan menunaikan solat di masjid amat menyedihkan, namun dia reda kerana kekangan itu disebabkan penularan koronavirus (Covid-19).

"Saya harap selepas ini masjid dapat dibuka seluas-luasnya dengan jumlah jemaah ditambah lebih ramai atau mengikut keluasan masjid kerana masih ramai yang teringin nak solat berjemaah di masjid.

"Alhamdulilah, jemaah yang hadir juga mengikut garis panduan ditetapkan seperti bawa sejadah sendiri, berwuduk dari rumah, memastikan jarak sosial dipatuhi dan sebagainya," katanya.

Mohd Mohtar
Mohd Mohtar

Dalam pada itu, Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, hari pertama pelaksanaan solat Jumaat seramai 40 jemaah berjalan dengan baik.

Katanya, semua jemaah yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan diharap displin tersebut dikekalkan.