Covid-19: KKM sah terima kes tukang gunting rambut positif Covid-19

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima notifikasi berkenaan dengan seorang gunting rambut warga asing disahkan positif koronavirus (Covid-19) oleh Pejabat Kesihatan Titiwangsa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki warga asing itu menawarkan perkhidmatan gunting rambut dari rumah ke rumah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Kedai gunting rambut ditutup sejak PKP, tetapi dia menawarkan gunting rambut dari rumah ke rumah mengikut permintaan pelanggan," katanya.

Menurutnya, lelaki itu dikesan positif Covid-19 selepas majikannya memintanya untuk melakukan ujian saringan sebelum memulakan operasi di kedai.

"KKM telah mengesan 40 kontak rapat lelaki itu termasuk pelanggannya.

"Kesemua mereka diarah dikuarantin di rumah manakala pesakit berkenaan dihantar ke Hospital Sungai Buloh," katanya.

Beliau berkata, KKM melahirkan kebimbangan terhadap kes melibatkan warga asing.

"Kita telah melakukan kajian terperinci dan kebimbangan KKM kes positif di kalangan warga asing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, data kementerian menunjukkan 2,000 warga asing bekerja sebagai tukang gunting rambut.

"Sebab itu salah satu syarat untuk memulakan operasi, mereka perlu melakukan ujian saringan Covid-19.

"Mereka perlu patuh kepada garis panduan dan prosedur operasi standard yang dikeluarkan KKM" katanya.

Perkhidmatan gunting rambut dan dandanan dibenarkan memulakan operasi pada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Terdahulu tular di WhatsApp notis pemakluman oleh pengurusan bangunan berhubung perkara itu.