Saringan Covid-19 wajib untuk guru kembali ke Sarawak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Semua guru yang berkhidmat di Sarawak tetapi kini masih berada di luar negeri itu diarahkan untuk menjalani ujian koronavirus (Covid-19) sebelum kembali bertugas di negeri ini, kata Pengarah Pendidikan negeri, Abang Mat Ali Abang Masagus.

Dalam satu surat kepada semua pegawai pendidikan daerah di negeri ini, beliau berkata, arahan khas berkenaan adalah sejajar dengan arahan yang diterima daripada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Ik Pahon Joyik.

“Guru-guru yang berada di Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah diminta untuk mematuhi arahan tersebut sebagai langkah pencegahan dan kawalan risiko penularan wabak Covid-19 di negeri Sarawak. Ujian ini hendaklah dibuat tiga hari sebelum memulakan perjalanan ke Sarawak,” katanya dalam surat berkenaan yang diperoleh Bernama hari ini.

Ik Pahon dalam surat arahannya bertarikh semalam berkata guru-guru yang bertugas di bandar dan sudah menjalani saringan Covid-19 tiga hari sebelum masuk ke Sarawak dikehendaki menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing di negeri itu selama 14 hari, selain dikehendaki memakai ‘wristband’ (jalur lengan khas) sepanjang tempoh kuarantin berkenaan.

“Guru-guru yang bertugas di kawasan pedalaman Sarawak yang sudah/belum menjalani ujian saringan Covid-19 semasa ketibaan di negeri Sarawak, mereka akan menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan oleh JPBNS serta dikehendaki memakai wristband sepanjang tempoh kuarantin,” katanya.

Ik Pahon berkata, guru-guru untuk kawasan pedalaman itu juga perlu menjalani ujian saringan pada hari ke-10 kuarantin mereka dan akan dibenarkan meneruskan perjalanan ke kawasan bertugas menggunakan pengangkutan yang disediakan kerajaan negeri, jika keputusan ujian saringan mereka negatif.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin Jawong semalam berkata, seramai 2,644 guru dari Semenanjung Malaysia akan kembali semula ke Sarawak untuk mengajar sebelum pembukaan sekolah pada 24 Jun ini.

“Kami juga telah berbincang dengan JPBNS dan akan cuba mendapatkan Sukarelawan Sarawak (badan sukarela belia negeri) untuk membantu guru dari Semenanjung Malaysia (tepat pada waktunya) kembali ke Sarawak (untuk meneruskan perkhidmatan mereka),” katanya dalam sidang media di sini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pegawai-pegawai pendidikan dari semua daerah di Sarawak akan melawat 188 sekolah menengah yang mempunyai pelajar Tingkatan Lima dan Enam di negeri ini bermula 15 Jun untuk memastikan semua persiapan telah dibuat untuk pembukaan itu.

“Sarawak mempunyai 34,306 pelajar Tingkatan Lima dan 6,782 pelajar Tingkatan Enam, dan daripada jumlah keseluruhan sekolah menengah di negeri ini, 41 sekolah harus menjalankan kelas dalam dua sesi, iaitu pagi dan petang,” katanya. - Bernama