Johan kembali berkhidmat di Dusun Tua

Johan
Johan
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abd Aziz diangkat kembali sebagai wakil rakyat selepas sepenggal berehat.

Timbalan Pengerusi UMNO Selangor itu bakal berkhidmat sebagai wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua selepas disahkan memenangi kerusi itu pada pilihan raya negeri (PRN), Sabtu lalu.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat meluahkan kesyukuran selepas kerusi tersebut berjaya dikekalkan di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan.

"Sekalung penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga buat seluruh pengundi-pengundi, penyokong dan pendukung Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk berkhidmat buat warga Dusun Tua seluruhnya.

"Terima Kasih jua kepada jentera-jentera yang telah bertungkus-lumus memastikan kemenangan ini. Segala penat lelah yang telah dicurahkan amatlah saya hargai," katanya.

Johan menawan Dusun Tua dengan majoriti 3,014 undi menewaskan dua pencabar lain Azhar Hambali (PN) dan Al Hafiz Ikhwan (Parti Ikatan Demokratik Malaysia - Muda).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerusi itu dimenangi Edry Faizal (PH-DAP) yang menewaskan Mohd Zin Isa (BN) dan Razaly Hassan (Pas) dengan majoriti 10,422 undi.

Bagaimanapun, Edry tidak mempertahankan kerusi itu dan memberikan laluan kepada BN atas semangat Kerajaan Perpaduan.

Artikel Berkaitan:

Johan dalam pada itu mahu menumpukan aspek kesejahteraan kualiti hidup dan perancangan solusi isu setempat.

"Janji saya tidaklah sampai sebesar gunung. Tidak juga tinggi hingga mencapai awan. Apa yang saya ingin dan impikan adalah kesejahteraan untuk seluruh warga Dusun Tua.

"Kerana kesejahteraan itu adalah asas utama bagi kita semua menggapai apa yang diimpikan untuk masa hadapan. Bersama kita mengorak langkah menggapai cita dan impian dalam Kestabilan dan Kemakmuran," katanya.