X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Malaysia mempunyai mudah tunai mencukupi untuk laksana inisiatif

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak menggunakan pinjaman asing untuk membiayai pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebaliknya kerajaan menggunakan pinjaman tempatan dengan memanfaatkan pasaran bon tempatan, terutamanya Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII).

Beliau berkata, jumlah hutang berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) sekarang berada pada 52 peratus, iaitu di bawah had statutori 55 peratus.

"Kuncinya adalah kita perlu memastikan kita mempunyai mudah tunai mencukupi dalam pasaran...yang mana kita ada.

"Jika Malaysia perlu menaikkan had statutori hutang berbanding KDNK pada 55 peratus, memandangkan tempoh yang mencabar dan belum pernah berlaku sebelum ini, ia perlu pada asas sementara, dengan fokus menurunkannya kembali dalam tempoh terdekat...tiga tahun rasanya paling sesuai,” katanya kepada Bernama.

Tengku Zafrul juga optimis Malaysia mampu menampung jangkaan defisit yang diunjurkan pada kira-kira 5.8-6.0 peratus tahun ini, memandangkan negara mempunyai rekod prestasi baik menurunkannya daripada 6.7 peratus pada 2009 semasa krisis kewangan kepada kira-kira tiga peratus dalam masa lima tahun.

Jangkaan defisit bagi 2020 mengambil kira harga minyak berada pada AS$30 setong (minyak mentah Brent) dan pelaksanaan pelan rangsangan dan pemulihan jangka pendek kerajaan.

Menurutnya, dengan pelaksanaan pakej rangsangan yang cekap, kerajaan menjangka sumbangan kepada KDNK sebanyak 2.8 peratus daripada Prihatin dan 0.6 peratus daripada Penjana.

Sejajar dengan pembukaan semula ekonomi negara secara berfasa, yang menyaksikan 12.7 juta atau 83.5 peratus daripada tenaga kerja kembali semula bekerja setakat ini, Tengku Zafrul yakin Malaysia mempunyai persediaan yang lebih baik melaksanakan pemulihan pada 2021.

Beliau juga menekankan tentang kepentingan bagi rakyat untuk membelanjakan pendapatan boleh guna mereka membeli lebih banyak barangan dan perkhidmatan tempatan bagi merangsang permintaan domestik, yang mewakili kira-kira 60 peratus daripada KDNK.

Sementara itu, bagi tempoh jangka sederhana dan jangka panjang, Tengku Zafrul berkata, akses internet dan perkhidmatan digital akan terus menjadi fokus utama untuk ditangani kerajaan.

"Kita perlu mempercepat pelaburan dari segi kualiti dan akses internet di negara ini, kerana ia menunjukkan betapa pentingnya ia kepada rakyat semasa Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Selain itu katanya, keperluan untuk melabur dalam modal insan dan melengkapkan rakyat dengan kemahiran yang sesuai menerusi latihan, latihan semula dan latihan kemahiran semula juga akan menjadi satu lagi fokus utama bagi kerajaan malahan selepas berakhirnya pandemik Covid-19.

Keseluruhannya, kedua-dua pakej Prihatin dan Penjana bernilai RM295 bilion dengan RM45 bilion dalam bentuk suntikan fiskal langsung. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!