RUU asingkan Peguam Negara, Pendakwa Raya tunggu penelitian JKPK - Peguam Negara

MACHANG - Draf cadangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sudah selesai disemak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) dan telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) untuk penelitian lanjut.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, ia dilakukan selepas pihaknya menerima draf berkenaan daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), susulan beberapa ulasan yang dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja sebelum ini.
Menurut beliau, AGC sudah menyelesaikan penelitian terhadap draf berkenaan dan mengemukakannya kepada jawatankuasa terbabit untuk tindakan selanjutnya.
"Perkara ini masih dalam tindakan JKPK dan sekiranya ada isu lanjut yang perlu disemak, kita akan lakukan.
"Jika tiada lagi perkara berbangkit, draf berkenaan akan dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan pada mesyuarat tahun hadapan," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Sebelum itu beliau merasmikan Santuni Madani Jabatan Peguam Negara di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong di sini.
Terdahulu, media melaporkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya masih dalam proses untuk dimuktamadkan bagi memastikan segala aspek perundangan dan perlembagaan yang berkaitan diberi pertimbangan sewajarnya.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu telah dipersembahkan untuk makluman Majlis Raja-Raja pada 13 Oktober lepas.
Mohd Dusuki bagaimanapun menjelaskan, perkembangan seterusnya bergantung kepada penelitian jawatankuasa berkenaan sebelum draf itu dibawa ke peringkat seterusnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

