Seludup dadah guna aset TUDM: Saifuddin tepis dakwaan Malaysia menuju seperti Colombia

BALING - Kejayaan polis membongkar sindiket penyeludupan dadah yang menyalahgunakan kemudahan penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak seharusnya dikaitkan dengan tanggapan Malaysia sedang menuju seperti Colombia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kejadian itu tidak wajar dijadikan asas untuk menyamakan tahap keselamatan negara dengan negara berkenaan.
Menurutnya, penilaian terhadap keamanan dan keselamatan sesebuah negara perlu dibuat berdasarkan indikator antarabangsa, bukannya hanya berpandukan satu kes jenayah yang berjaya dibongkar.
"Saya tepis dan tolaklah perbandingan itu. Kesimpulannya, kita berada pada kedudukan yang baik.
"Di Asia Tenggara kita nombor dua di belakang Singapura, manakala Asia Pasifik kita di belakang Singapura dan New Zealand," katanya pada Sabtu.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Jelajah Wira MADANI dan Santuni MADANI Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Masjid Al-Hasaniah, Kampung Rambong Pulai, Kupang di sini.
Jelas beliau, Malaysia berada pada kedudukan baik berdasarkan penilaian Indeks Keamanan Global (GPI) 2026 apabila menduduki tangga ke-12 daripada 163 negara, berbanding Colombia di kedudukan ke-141.
Menurutnya kejayaan pihak berkuasa membongkar kegiatan penyeludupan dadah itu sepatutnya dilihat dari sudut keupayaan serta komitmen agensi penguat kuasa membanteras jenayah.
"Oleh kerana berlaku kes tangkapan, jangan tengok bahawa kita dah menuju ke arah Colombia. Jangan pula apabila kita berjaya tangkap, terus kita fikir 'Colombia... Pablo Escobar'," ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan Saifuddin Nasution berkata, tiga tan dadah disyaki jenis methamphetamine (syabu) bernilai RM156 juta dikenal pasti telah diseludup keluar melalui dua pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sabah dan Labuan sejak Ogos 2024.
Menurutnya, kegiatan itu dikesan menerusi risikan berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengenal pasti 21 transaksi penyeludupan dadah dilakukan melalui kedua-dua pangkalan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

