Perjumpaan bersama ADUN, Ahli Parlimen jernihkan keruh politik Sabah: Mohd Shafie

 Mohd Shafie
Mohd Shafie
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini mengadakan perjumpaan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen (MP) daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya bagi membincangkan senario semasa politik tempatan.

Perjumpaan yang bermula pada 12 tengah hari di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri itu berlangsung hampir dua jam dan dihadiri 40 daripada 43 ADUN dan lapan daripada 10 MP Warisan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), DAP dan PKR.

Antara yang hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong yang juga Naib Presiden Warisan; Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau merangkap Presiden UPKO; Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew selaku Pengerusi PKR Sabah serta Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung yang juga Pengerusi DAP Sabah.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan berkata, perjumpaan turut membincangkan hala tuju serta pendirian politik setiap wakil rakyat yang hadir.

Ditanya mengenai ketidakhadiran tiga ADUN (dua daripada UPKO dan satu daripada DAP) dan dua MP Warisan, Mohd Shafie berkata mereka telah memaklumkan kepadanya tentang ketidakhadiran mereka dan pada masa sama turut menyatakan pendirian masing-masing untuk terus teguh bersama parti.

Dua Ahli Parlimen Warisan yang tidak hadir ialah Datuk Mohamaddin Ketapi dan Datuk Mohd Azis Jamman.

Baru-baru ini tular dakwaan bahawa beberapa MP Warisan akan keluar parti selain dakwaan akan berlaku perubahan kerajaan negeri Sabah pada Julai ini kerana dikatakan ada wakil rakyat daripada blok kerajaan akan lompat parti.

Pertemuan hari ini dipercayai ada kaitan dengan desas-desus tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mengulas perkembangan lain, Mohd Shafie berkata, walaupun berbeza aliran politik, kerajaan Sabah sentiasa memberi kerjasama kepada kerajaan persekutuan demi kesejahteraan rakyat di negeri itu.

“Kita bekerja untuk negara,” katanya. - Bernama