Kerajaan perlu perincikan SOP pengangkutan awam: PPIK

Mohd Fared Abd Ghani
Mohd Fared Abd Ghani
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) menggesa kerajaan memperketatkan lagi aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) melibatkan pengangkutan awam dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

Yang Dipertua PPIK, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abd Ghani berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai masalah penjarakkan sosial yang gagal dipatuhi beberapa pihak sejak dua hari lalu.

"SOP yang ketat perlu dilaksanakan bagi memastikan tidak timbul kekeliruan dan memudahkan orang ramai untuk memilih pengangkutan awam yang bersesuaian dengan tujuan mereka.

“Semalam tular sekeping gambar yang menunjukkan tiada penjarakkan sosial dalam kapal terbang. Adakah kedudukan penumpang dalam sebuah pesawat komersial tidak perlu penjarakkan sosial.

"Adakah SOP dalam kapal terbang dan bas berbeza. Ini yang perlu diperincikan. Jika semua mesti ikut SOP, maka ikutlah," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Sebelum ini ada pengusaha bas yang didakwa tidak bersetuju dengan cadangan penjarakkan sosial di dalam bas kerana hanya separuh penumpang yang boleh ditempatkan berbanding dengan jumlah asal sebelum ini.

Mengulas lanjut, Fared berkata, mana-mana sektor pengangkutan iaitu udara, darat atau laut tidak boleh melaksanakan peraturan sendiri tanpa kebenaran ketika negara berdepan usaha membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Macam pengusaha bas, saya faham mereka minta kelonggaran untuk tampung kos operasi tinggi sedangkan pendapatan tidak seberapa kerana kapasiti penumpang pun kurang separuh.

Artikel Berkaitan:

"Tapi bila kerajaan kata tidak boleh (kena patuh SOP) mereka kena akur. Kalau bas pun tidak boleh, kapal terbang pun sepatutnya tidak boleh jugalah.

"Kerajaan perlu perincikan lagi perkara ini bagi mengelak kekeliruan. Kita kesian pada mereka yang terpaksa menanggung bebanan kos tinggi dan sebagainya tetapi keselamatan adalah perkara utama dan carilah satu jalan penyelesaian 'menang-menang' antara mereka yang terlibat," katanya.