Hampir 50 peratus Kebuniti dalam fasa pengkomersialan - Aaron

Aaron ketika sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Kebuniti Madani KRT Taman Mutiara dan Taman Koperasi pada Selasa. - Foto Bernama
Aaron ketika sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Kebuniti Madani KRT Taman Mutiara dan Taman Koperasi pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Hampir 50 peratus daripada keseluruhan 113 Kebun Komuniti (Kebuniti) di seluruh negara telah memasuki fasa pengkomersialan dengan ada antaranya berjaya meraih pendapatan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit setahun.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kebanyakan Kebuniti yang telah memasuki fasa itu adalah di Kuala Lumpur dan Selangor serta beberapa negeri lain.

Pada peringkat awal, program ini bermula secara kecil-kecilan bagi mengisi masa lapang penduduk setempat tetapi ia semakin berkembang. Contohnya, sebuah Kebuniti di Terengganu dikhabarkan mampu meraih pendapatan sehingga RM70,000 setahun setelah menjadi pembekal cili dan timun kepada pasar raya.

"Melihat sambutan dan hasil yang baik ini, kita merancang untuk mengembangkan lagi program ini di seluruh negara. Buat masa ini, kita sudah ada 112 Kebuniti dan akan membuka 61 lagi Kebuniti dengan kerjasama dari Jabatan Pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di Tapak Projek Kebuniti Madani Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Taman Mutiara dan Taman Koperasi di sini pada Selasa.

Aaron berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga memainkan peranan dalam membantu memastikan program Kebuniti dapat dilaksanakan.

"PBT boleh membantu tetapi KRT yang akan laksanakan... sekiranya pihak KRT berminat dan memiliki tanah kosong, mereka boleh membuat permohonan dan setelah mendapat kelulusan, Jabatan Pertanian akan sediakan benih, baja dan keperluan lain untuk memulakan proses bercucuk tanam.

"Buat masa ini, kerjasama dari pihak PBT sangat baik dan ada yang menjadikan Kebuniti ini sebagai ‘anak angkat’ mereka. Kebuniti ini juga boleh dilaksanakan di atas tanah individu tetapi ia perlulah mendapat kebenaran dari pemilik tanah terlebih dahulu,” katanya.

Program Kebuniti dapat memberi manfaat dari aspek ekonomi, sosial dan persekitaran setempat selain menjana peluang pekerjaan serta menyokong kepada keperluan makanan penduduk bandar dan luar bandar. - Bernama