Kelantan sedia kerjasama dalam siasatan amalan ‘anak-beranak’, salah guna kuasa

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan terbuka dan sedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terhadap Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri sekiranya terdapat asas kukuh berhubung dakwaan amalan ‘anak-beranak’ dan salah guna kuasa dalam pentadbiran.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pentadbiran Kelantan tidak pernah menghalang mana-mana agensi penguat kuasa menjalankan tanggungjawab sejak era pentadbiran Almarhum Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Kita terbuka dari dahulu sampai sekarang. SPRM ada kuasa dan undang-undang sendiri untuk menyiasat.
"Jika ada asas untuk pendakwaan, teruskan. Kita tiada masalah,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Beliau mengulas gesaan yang tular di media sosial supaya SUK Kelantan disiasat susulan Exco Kerajaan Terengganu ditahan SPRM atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi kepentingan ahli keluarganya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu menegaskan, tuduhan kononnya wujud pelantikan ahli keluarga dalam jabatan kerajaan negeri perlu dilihat secara adil dan berdasarkan fakta, bukan persepsi.
"Kalau pelantikan dibuat mengikut kelayakan dan memenuhi syarat, ia bukan satu kesalahan. Tetapi jika tidak cukup syarat dan tetap dilantik, itu memang wajar disiasat," ujarnya.
Mohamed Fadzli berkata, beliau turut menuntut agar siasatan dilakukan secara menyeluruh dan tidak terpilih.
"Kalau SUK negeri lain boleh disiasat, siasatlah semua. Jangan hanya fokus kepada satu negeri sahaja. Kita mahu keadilan yang sama," katanya.
Beliau menambah, dakwaan amalan ‘anak-beranak’ dalam pentadbiran bukan isu luar biasa dan boleh berlaku di mana-mana peringkat, termasuk di peringkat pusat, asalkan individu yang dilantik memiliki kelayakan serta melalui proses yang sah.
Ringkasan AI
- Kerajaan Kelantan bersedia bekerjasama dengan SPRM untuk siasatan salah guna kuasa di Pejabat SUK negeri
- Pentadbiran Kelantan tidak menghalang siasatan oleh mana-mana agensi penguat kuasa
- Siasatan harus dilakukan berdasarkan asas kukuh untuk pendakwaan
- Mohamed Fadzli menuntut siasatan yang adil dan menyeluruh, tidak terhad kepada satu negeri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

