Thaipusam lebih meriah di Pulau Pinang

Chow Kon Yeow
A
A

GEORGE TOWN - Sambutan Thaipusam di Pulau Pinang merupakan salah satu acara yang cukup popular dan amat dinantikan bukan sahaja oleh penduduk, tempatan malah dalam kalangan pelancong.

Sehubungan itu Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berharap sepanjang tiga hari sambutan perayaan itu Pulau Pinang, ia akan berlangsung dengan lancar dan aman.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat termasuk badan amal, badan korporat, individu, agensi kerajaan serta pihak kuil yang memberikan kerjasama baik sepanjang acara sambutan berlangsung.

“Ia disambut dengan penuh keagamaan oleh para penganut dengan lokasi tumpuan di Kuil Hilltop Murugan, Jalan Kebun Bunga, secara tidak langsung, kemeriahan tersebut telah menjadi begitu sinonim dan simbolik kepada negeri Pulau Pinang dalam kalangan pelancong tempatan serta antarabangsa setiap tahun.

"Saya berharap semua penganut Hindu dapat menunaikan kewajipan masing-masing secara aman dan teratur, “ katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas meluangkan masa kira-kira dua jam melawat gerai dan khemah yang didirikan antara Lembaga Wakaf Hindu di Jalan Macalister sehingga di Jalan Kebun Bunga di sini hari ini. - Bernama