Loji air tercemar: Lombong di Sungai Temau diarah henti operasi

Dr Sallehuddin (dua dari kanan) ketika meninjau keadaan di lapangan pada 6 Jun lalu. -FOTO: FB PENGURUSAN AIR PAHANG BERHAD
Dr Sallehuddin (dua dari kanan) ketika meninjau keadaan di lapangan pada 6 Jun lalu. -FOTO: FB PENGURUSAN AIR PAHANG BERHAD
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang mengeluarkan arahan henti kerja kepada semua operator dan pemegang pajakan lombong di kawasan Sungai Temau, Lipis berkuatkuasa serta-merta.

Arahan itu dikeluarkan berikutan berlaku pencemaran sumber air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Temau yang dikenal pasti berpunca daripada aktiviti perlombongan tersebut.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, pencemaran sumber air itu menjejaskan 421 pemegang akaun melibatkan penduduk Felda Chegar Perah (212 akaun) dan Felcra Sungai Temau (209 akaun).

Menurutnya, masalah itu menyebabkan berlaku kejadian terputus bekalan air ekoran penutupan operasi LRA di kawasan tersebut beberapa kali.

"Hasil lawatan dan pemeriksaan di tapak lombong yang masih aktif dan bekas lombong ditinggalkan mendapati, berlaku limpahan air dari kolam sedimen di tapak lombong yang mengalir masuk ke dalam anak sungai.

"Pemeriksaan di lapangan pada 6 Jun lalu yang disertai beberapa wakil jabatan teknikal dan penguatkuasa juga mendapati penyelenggaraan kolam sedimen yang lemah oleh operator lombong menyebabkan berlakunya situasi tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Sallehudin berkata, bacaan Kadar Tingkat Kekeruhan Air (NTU) adalah tinggi iaitu 4,380 NTU pada16 Mei lalu dan keadaan menjadi lebih teruk apabila berlaku hujan lebat.

Katanya, pencemaran juga dipercayai berpunca daripada kandungan kandungan logam berat, mangan (Mn) dan besi (Fe) yang sangat tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Kita dapati tapak lombong yang telah tamat tempoh dan ditinggalkan tidak dibaikpulih. Keadaan itu mendedahkan lagi kawasan itu kepada risiko pencemaran alam sekitar melibatkan aliran air dan tebing bukit.

"Berdasarkan kepada penemuan hasil lawatan tapak tersebut, kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang semalam mengambil keputusan menghentikan serta-merta kerja-kerja perlombongan di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata, notis, kompaun dan saman dikeluarkan kepada operator lombong atas pelanggaran syarat aktiviti perlombongan.

"Arahan tindakan penyelenggaraan serta merta dikeluarkan kepada operator lombong bagi kolam-kolam yang dipenuhi mendapan (sedimen).

"Mereka juga diarah membina perangkap kelodak (silt-trap) yang menyebabkan berlaku pencemaran di 'down stream' sehingga menjejaskan LRA," katanya.

Dr Sallehuddin berkata, sebagai langkah jangka pendek untuk mengatasi masalah gangguan pencemaran di LRA Sungai Temau, satu lencongan (diversion) Sungai Timah sedang dibuat dan tidak melalui LRA Sungai Temau.

"Sebagai tambahan, kerajaan Pahang juga bersetuju untuk mengkaji semula peraturan berkaitan aktiviti perlombongan.

"Antaranya pindaan terhadap amaun deposit kepada Kumpulan Wang Amanah Pemulihan Bersama, memperketatkan dan menambahbaik syarat-syarat tenemen mineral.

"Selain itu, pelan pemulihan lombong lebih komprehensif perlu diwujudkan melibatkan agensi kerajaan dan pemegang tenemen mineral," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius terhadap isu pencemaran air yang berlaku di LRA Sungai Temau dan semua agensi telah diarahkan untuk melaksanakan tindakan pencegahan secara bersepadu bagi mengelakkan isu yang sama berulang.