Sembahyang di rumah ibadat bukan Islam antara dibenarkan di Sabah

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sidang media di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah (PPNS), hari ini. - Foto Bernama
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sidang media di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah (PPNS), hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah hari ini membenarkan semula beberapa aktiviti sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk perjalanan rentas negeri, gunting rambut dan sembahyang di rumah ibadat bukan Islam, berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, selain itu, kerajaan negeri juga membenarkan aktiviti melancong dalam negeri, membuka semula kolam memancing, rekreasi dan riadah yang tidak bersentuhan, dan aktiviti sukan yang tidak bersentuhan seperti badminton dan tenis.

“Sambutan Hari Raya Haji dan ibadah korban juga dibenarkan serta pembukaan sekolah secara berperingkat termasuk tadika.

“Semua aktiviti itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan, pihak berkuasa tempatan dan pihak-pihak berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan pelitup separuh muka serta cecair pembasmi kuman kepada sekolah-sekolah di negeri, di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, masih ada aktiviti belum dibenarkan antaranya perdagangan tukar barang, kelab malam, karaoke, taman tema, perarakan keagamaan, kenduri, rumah terbuka dan sukan yang bersentuhan seperti bola sepak.

“Kerajaan Sabah mengingatkan rakyat di negeri ini dan juga pelawat untuk terus mematuhi SOP dalam semua urusan dan aktiviti yang dibenarkan untuk memastikan keselamatan diri, keluarga dan komuniti bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sehingga kini kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM3 juta untuk membawa pulang pelajar Sabah yang berada di Semenanjung.

“Lebih 11,000 pelajar yang perlu dibawa balik dari Semenanjung dan sebelum ini kerajaan pusat telah membantu menghantar pulang 3,000 pelajar.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu kita perlu membawa pulang pelajar yang masih berada di Semenanjung dan Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah serta Kementerian Pengajian Tinggi telah bekerjasama untuk memastikan ia berjalan lancar,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 746,112 keping pelitup separuh muka serta 60,652 botol cecair pembasmi kuman disumbangkan kerajaan negeri kepada 221 sekolah kerajaan dan 15 sekolah swasta di negeri ini. - Bernama