Tekong, pelarian Rohingya mati kutu di laut

Bot yang membawa PATI etnik Rohingya berjaya ditahan di perairan Langkawi pada Isnin lalu.
Bot yang membawa PATI etnik Rohingya berjaya ditahan di perairan Langkawi pada Isnin lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tekong yang membawa seramai 269 pelarian Rohingya melalui perairan negara, Isnin lalu, menghadapi jalan buntu selepas sindiket yang sepatutnya menguruskan kemasukan mereka secara haram sudah diberkas dari awal.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, tindakan pihaknya memberkas rangkaian sindiket itu di sekitar Kedah, maka tekong dan pelarian di dalam bot berkenaan tidak mempunyai hala tuju serta terkandas di laut.

"Kita mengambil langkah drastik dengan memberi penumpuan kepada tangkapan jaringan mereka seperti ketua sindiket, tekong laut dan tekong darat, ejen, pengendali rumah transit dan pengangkut mereka terlebih dahulu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 269 warga Rohingya ditahan, satu mayat ditemukan dalam bot

Huzir berkata, kesan daripada tindakan itu, pihaknya percaya banyak lagi migran atau pendatang asing tanpa izin yang cuba memasuki negara secara haram.

"Mereka dipercayai masih terkandas di negara asal dan ada juga dikesan di lautan," katanya.

Mengulas Op koronavirus (Covid-19) Benteng, di Kedah, Huzir memaklumkan seramai 70 ahli sindiket penyeludupan migran termasuk 14 perempuan yang bertindak sebagai ejen kemasukan migran etnik Rohingya ke Malaysia ditangkap sepanjang operasi ini dijalankan.

ARTIKEL BERKAITAN: 371 ahli sindiket penyeludupan migran diberkas

Artikel Berkaitan:

"Operasi ini membabitkan kesemua elemen polis dengan kerjasama daripada masyarakat dan akan dipertingkatkan lagi dari masa ke masa di samping bersedia untuk berkongsi maklumat dan agensi-agensi penguat kuasa di bawah 'National Joint Task Force'," katanya.

Huzir menambah, pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Bahagian D3, (Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran) JSJ, Bukit Aman melalui talian hotline 03-26101510 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.