X

Kindly register in order to view this article
!

UiTM tawar program pasca siswazah kardiotorasik pertama di Malaysia

UiTM
A
A

SHAH ALAM - Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) menawarkan program pasca siswazah Sarjana Sains Pembedahan (Kardiotorasik) yang pertama di Malaysia.

Program itu adalah program dua tahun asas (bukan pakar) sebagai persediaan sebelum ke Program Kepakaran Doctorate in Cardiothoracic Surgery selama empat tahun.

UiTM dalam satu kenyataan berkata, usaha itu juga mendapat sokongan dan kerjasama daripada Kesatuan Pakar Pakar Pembedahan Jantung di Malaysia (MATCVS).

“Perbincangan awal di antara pihak tertinggi UiTM dan IJN pada Jun 2019 telah mendatangkan hasil.

“Lanjutan daripada itu, pihak Fakulti Perubatan UiTM telah mengadakan berapa siri lawatan dan perbincangan bersama pihak bertanggungjawab di IJN,” kata kenyataan itu, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, kata sepakat telah dicapai sejak akhir tahun lalu dan meskipun terdapat beberapa kekangan waktu dan penularan wabak koronovirus (Covid-19), akhirnya perjanjian persefahaman (MOU) ditandatangani pada 4 Mei lalu.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, persediaan perancangan program tersebut telah melibatkan banyak interaksi, sesi perbincangan, lawatan dengan pelbagai pihak di dalam dan luar negara.

“Ia adalah untuk menghasilkan suatu program tempatan bertahap antarabangsa termasuk melibatkan seramai mungkin pakar-pakar dalam perkhidmatan kerajaan dan swasta.

“Mereka yang terlibat adalah para profesor dan juga pakar-pakar dari universiti-universiti terkemuka di Malaysia dan juga di luar negara serta pakar-pakar di IJN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Sementara itu, pihak UiTM juga telah menandatangani MOU dengan Universiti Monash, Melbourne pada Oktober lepas dan dalam peringkat perbincangan melengkapkan kerjasama dengan Royal Australiasin College of Surgeon (RACS) yang ditangguh sementara kerana Covid-19.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus