Covid-19: Perbelanjaan kuarantin di hotel amat tinggi

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kaedah kuarantin di hotel bagi rakyat Malaysia yang baharu tiba di tanah air telah menelan perbelanjaan yang amat tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu mendorong kerajaan untuk membenarkan rakyat menjalani kuarantin di rumah masing-masing selepas ujian saringan pertama dilakukan terhadap mereka sebaik tiba.

Menurutnya, keputusan itu juga disokong dengan jumlah yang positif Covid-19 hanya satu peratus (554 kes) daripada 50,000 rakyat pulang dari luar negara.

"Pada saringan pertama, hanya 0.8 peratus sahaja didapati positif manakala 0.2 peratus disahkan positif pada saringan kedua iaitu hari ke-13 kuarantin," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, kaedah kuarantin di rumah diterima pakai oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Jadi dengan kadar yang rendah kita rasa alangkah baiknya dapat kuarantin di rumah," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan pemantauan dari masa ke masa dengan menggunakan aplikasi MySejahtera dan gelang tangan (wrist band).

"Memang pada permulaan (wabak), kita jalankan kaedah pemantauan di rumah tetapi (pada masa itu) tiada aplikasi.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang kita rasa kita boleh gunakan MySejahtera dan akan akan berikan gelang tangan untuk dikuarantinkan di rumah selama 14 hari," katanya.

Ahad lalu, kerajaan memutuskan untuk membenarkan rakyat dari luar negara menjalani kuarantin di rumah.

Peraturan tersebut berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Individu yang ingkar boleh dikenakan dikompaun RM1,000 atau dihadapkan ke mahkamah bagi hukuman denda dan penjara.