Rakyat tuntut Kelantan baharu

Rakyat berharap kerajaan negeri pimpinan Mohd Nassuruddin dapat melakukan perubahan terutama dalam isu melibatkan air dan peluang pekerjaan.
Rakyat berharap kerajaan negeri pimpinan Mohd Nassuruddin dapat melakukan perubahan terutama dalam isu melibatkan air dan peluang pekerjaan.
A
A
A

KOTA BHARU - Rakyat Kelantan berharap kerajaan negeri baharu yang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dapat melakukan perubahan ke arah lebih baik terutama dalam isu melibatkan air dan peluang pekerjaan.

Usahawan, Mohd Nurul Mohd Yusoh, 35, berkata, mandat yang diberikan kepada Pas di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) harus dibuktikan dengan menyuntik elemen perubahan dalam pentadbiran negeri.

Mohd Nurul
Mohd Nurul

"Sebagaimana manifesto yang ditawarkan oleh PN semasa PRN (pilihan raya negeri), sebagai usahawan saya harap janji untuk memperluaskan prasarana digital akan ditunaikan segera.

"Iaitu dengan menyediakan Pakej Rangsangan Ekonomi Digital Rakyat Kelantan dan platform pemasaran teknologi blockchain," katanya kepada Sinar Harian.

Bagi suri rumah, Yuzralinda Mohamad, 39, dia mengharapkan kepimpinan baharu dapat membaiki kelemahan serta kelompangan yang wujud sebelum ini.

Yuzralinda
Yuzralinda

Dia berharap untuk lima tahun akan datang tiada lagi isu yang sama berulang kerana rakyat sekali lagi telah memilih dan memberi kepercayaan kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

"Diharap dalam tempoh lima tahun ini pelbagai manfaat dapat dinikmati oleh kami sekeluarga sebagai rakyat Kelantan," katanya.

Bagi pelajar universiti, Nor Maisarah Mazlan, 20, pula, dia berharap lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan di negeri ini khususnya untuk pelajar lepasan institusi pengajian tinggi awam atau swasta.

Ujarnya, peluang kerja amat diperlukan bagi mengelakkan lebih ramai anak muda berhijrah keluar dari negeri ini.

"Ramai anak muda mengimpikan untuk mencari rezeki di tempat sendiri. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri," katanya.

Nor Maisarah, Amin Syahmi, dan Asiah
Nor Maisarah, Amin Syahmi, dan Asiah



Pelajar, Amin Syahmi Azahar, 19, berkata, sebagai anak muda dia dan rakan-rakan mengharapkan kemudahan dari segi infrastruktur serta kebajikan.

"Terutama peluang pekerjaan kepada golongan muda serta kemudahan lain seperti tempat rekreasi, bersukan dan sebagainya," tambahnya.

Warga emas, Asiah Yunus, 68, pula berharap manifesto yang dijanjikan untuk golongan seumur dengannya dapat ditunaikan sebaik mungkin.

Katanya, kad warga emas B40 dan Skim Cakna Warg Emas Al-Muqarramun sebagaimana dinyatakan dapat dimanfaatkan sebaiknya.

Pada Rabu, Mohd Nassuruddin menegaskan kerajaan negeri akan mengamalkan dasar politik matang dan sejahtera dalam menjaga hubungan pihaknya dengan kerajaan Persekutuan.

Beliau yang melaporkan diri pada hari pertama sebagai Menteri Besar di Kompleks Darulnaim dekat sini, hari ini berkata, pendekatan itu adalah demi kesejahteraan rakyat Kelantan.

Ketua Penerangan Pas Kelantan itu dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan yang baharu selepas mengangkat sumpah untuk jawatan itu di hadapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Negeri Kubang Kerian pada Selasa.