New Zealand sifar kes aktif Covid-19

Jacinda Ardern mengumumkan sekatan domestik di negara itu ditarik selepas tiada kes jangkitan baharu dan sifar kes aktif sejak 17 hari lalu.
Jacinda Ardern mengumumkan sekatan domestik di negara itu ditarik selepas tiada kes jangkitan baharu dan sifar kes aktif sejak 17 hari lalu.
A
A
A

WELLINGTON - New Zealand menarik balik kesemua sekatan domestik koronavirus (Covid-19) bermula esok selepas pesakit terakhir di negara itu disahkan pulih.

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri, Jacinda Ardern yang memaklumkan kawalan sempadan masih berkuat kuasa walaupun negara itu tidak lagi mengenakan langkah penjarakan sosial dan melarang perhimpunan awam.

“Kami yakin telah menghapuskan rantaian penularan virus itu di New Zealand buat masa ini.

“Pengorbanan penduduk termasuk mematuhi langkah 'lockdown' drastik selama tujuh minggu membantu mengawal kadar jangkitan virus itu,” katanya hari ini menerusi stesen TV yang menjelaskan kejayaan terbabit adalah hasil penyatuan seluruh rakyat untuk membendung wabak tersebut.

Menurutnya, tiada kes jangkitan baharu dan sifar kes aktif sejak 17 hari lalu.

Butiran tentang pesakit terakhir bagaimanapun tidak didedahkan atas faktor privasi, namun wanita itu dipercayai berusia dalam lingkungan 50-an dan dikaitkan dengan kluster sebuah rumah jagaan di Auckland.

Difahamkan, New Zealand kini berada pada Tahap Satu yang juga kadar paling rendah dalam sistem tindak balas virus empat peringkat di negara itu.

Negara Pasifik Selatan yang mempunyai populasi lima juta penduduk itu mengesahkan 1,154 kes jangkitan dan 22 kematian. - AFP

Artikel Berkaitan: