X

Kindly register in order to view this article
!

Johor buka semula pasar pagi, pasar malam bermula 15 Jun

Pasar pagi dan malam di Johor akan dibuka semula mengikut SOP ditetapkan KKM.
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri akan membuka semula pasar pagi dan malam mengikut kawalan dengan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, bermula 15 Jun ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ayub Jamil berkata, untuk tujuan itu, satu mesyuarat bersama 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diadakan pada Rabu ini bagi menentukan pelan tindakan pembukaan semula pasar pagi dan malam di seluruh negeri.

Katanya, kebenaran menjalankan perniagaan itu juga akan dilaksanakan secara berperingkat di semua PBT bagi melihat terlebih dahulu pematuhan peniaga dan pembeli terhadap SOP ditetapkan.

"Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020, Johor mempunyai 4,409 peniaga pasar pagi dan 23,184 peniaga pasar malam di 53 lokasi pasar pagi dan 194 pasar malam di semua kawasan PBT negeri.

ARTIKEL BERKAITAN: Operasi pasar terbuka, bazaria bermula 15 Jun

Melaka perhalusi SOP buka kedai gunting rambut, pasar terbuka

"Dalam normal baharu kelak, kedua-dua pasar ini akan dipastikan supaya tidak dilihat sesak, sempit dan bukan kawasan sembang awam. Dijangka jumlah lokasi dan bilangan peniaga akan berkurangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, perniagaan pasar pagi dan malam perlulah mematuhi jarak sosial dengan kedudukan 1.5 meter hingga dua meter antara satu gerai dengan gerai yang lain dan lokasi kawasan juga perlulah di kawasan lapang atau kawasan bersesuaian yang berpagar bagi mengawal laluan keluar masuk secara sehala.

Jelasnya, ia juga perlu beroperasi sebagaimana tempoh ditetapkan PBT masing-masing dengan kaedah pembelian secara terus atau 'take away' serta tidak membuka ruang berlakunya himpunan sosial.

Berdasarkan SOP ditetapkan katanya, semua pembeli di kedua-dua pasar berkenaan perlu menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki kawasan pasar, memakai topeng muka sepanjang masa, menjalani saringan kesihatan semasa di pasar dan memakai sarung tangan.

"Mereka juga perlu berdaftar dengan aplikasi MySejahtera dan Jejak Johor bagi membolehkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjejaki kontak rapat," katanya.

Beliau menegaskan, tindakan penutupan terhadap perniagaan boleh diambil serta-merta sekiranya peniaga gagal mematuhi SOP ditetapkan ataupun pasar dilihat berada dalam keadaan tidak terkawal.

"Semua peniaga dikehendaki mematuhi SOP dan garis panduan ditetapkan bagi membantu kerajaan mengekalkan dan memastikan negeri ini kekal sebagai kawasan hijau koronavirus (Covid-19)," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus