Covid-19: Keluarga pelajar Malaysia jangan panik situasi di Mesir

Mohd Akmal Kamarudin
Mohd Akmal Kamarudin
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak meminta keluarga pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Mesir tidak panik dengan penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang sedang melanda negara Rantau Afrika Utara itu.

Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, Kementerian Luar Negeri menyifatkan, situasi negara-negara di benua Afrika masih terkawal dan pihak Pejabat Kedutaan Malaysia di Mesir sentiasa berusaha dan bertungkus lumus memastikan semua pihak berada dalam keadaan yang baik.

Menurutnya, jumlah mahasiswa di bawah seliaan Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak seramai 848 orang, namun sehingga 30 Mei lalu, seramai 466 orang pelajar yang masih berada di Mesir.

"Kerajaan Negeri Perak sentiasa mengemaskini maklumat terkini yang disalurkan oleh Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak yang merupakan salah satu agensi kerajaan di bawah Kedutaan Besar Malaysia Kaherah yang menyelia hal ehwal akademik, pembangunan modal insan serta kebajikan mahasiswa Negeri Perak di Mesir, Jordan dan Maghribi.

"Kedutaan Besar Malaysia Kaherah juga telah mewujudkan Jawatankuasa Task Force Covid-19 yang dipengerusikan oleh Duta Besar Malaysia ke Mesir," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Atase Pendidikan Perak, Mohammed Tasyreef Mohamd Tarmizi kualiti perkhidmatan perubatan di Mesir tidak seteruk sepertimana yang ditularkan oleh pelbagai pihak.

Dalam pada itu, Mohd Akmal menjelaskan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) juga telah menyalurkan bantuan kepada mahasiswa di Mesir dan Jordan melalui Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak bagi tujuan pengurusan wabak Covid-19.

Katanya, sebanyak RM50,000 diperuntukkan untuk mahasiswa Perak di Mesir dan RM 30,000 untuk mahasiswa Perak di Jordan bagi tujuan perbelanjaan untuk pengagihan bekalan makanan asas, pengurusan kesihatan pelajar dan pengagihan bantuan berbuka puasa.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, memandangkan jumlah yang ramai akan tamat tempoh kuarantin di pusat-pusat kuarantin di Melaka pada 13 dan 14 Jun 2020, kerajaan Perak bersetuju menyediakan perkhidmatan bas bagi membawa pulang seramai 114 orang mahasiswa Perak (pelbagai jurusan) bagi meringankan bebanan ditanggung mahasiswa dan ibu bapa.

"Pihak keluarga tidak perlu panik dengan keadaan terkini yang dilaporkan. Kementerian Luar Negeri menyifatkan situasi negara-negara di benua Afrika masih terkawal. Tambahan pula, usaha pihak kedutaan yang sentiasa bertungkus lumus memastikan semua pihak akan berada dalam keadaan yang baik.

"Sekiranya terdapat pelajar yang masih ingin pulang ke Malaysia, mereka harus memaklumkan kepada wakil kedutaan di negara pengajian mereka dan jika berlaku sebarang masalah terutama kesihatan, mereka perlu merujuk kepada pegawai berkaitan bagi tindakan selanjutnya," katanya.

Mohd Akmal berkata, kerajaan Perak akan terus memantau perkembangan pandemik Covid-19 di luar negara ini melalui Wisma Putra dan Kedutaan Besar Malaysia.