Turunkan paras BAC

Seorang anggota polis melakukan ujian pengesanan alkohol dalam badan terhadap seorang pemandu menggunakan alat pengesan kandungan alkohol pada satu sekatan jalan raya bagi mengesan pemandu mabuk di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Seorang anggota polis melakukan ujian pengesanan alkohol dalam badan terhadap seorang pemandu menggunakan alat pengesan kandungan alkohol pada satu sekatan jalan raya bagi mengesan pemandu mabuk di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Paras kandungan alkohol dalam darah (BAC) pada tahap 0.08 peratus wajar diturunkan lagi untuk mengurangkan risiko pemanduan berbahaya dan membawa maut.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, dengan menurunkan paras BAC, individu yang dikesan mempunyai sedikit pengaruh alkohol dapat dikenal pasti lebih awal, seterusnya dihalang daripada dibenarkan memandu.

"Ia wajar dinilai semula susulan World Health Organization (WHO) meletakkan piawaian paras BAC pada tahap 0.05 peratus.

“WHO berpandangan sebenarnya tiada kadar selamat dalam penggunaan alkohol ketika pemanduan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau turut menyarankan agar semua pihak bersama kerajaan dalam usaha mengekang tragedi akibat pemandu mabuk sama ada badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik mahupun rakyat.

“Saya ucapkan tahniah kepada pemimpin negara kini yang aktif menyediakan draf, berbincang dan berusaha untuk melakukan pindaan beberapa akta yang memberi kesan hukuman lebih berat.

“Kes boleh dirujuk di Mahkamah Seksyen untuk mangsa mendapatkan pampasan yang sewajarnya,” katanya.

Ahmad Tarmizi Sulaiman
Ahmad Tarmizi Sulaiman

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya turut meminta pindaan hukuman kelak dapat memberi pembelaan kepada waris keluarga mangsa kemalangan yang berpunca daripada pemandu mabuk.

“Ia selaras dengan semangat diyat dalam hukum syarak Islam walaupun kemungkinan ia belum mengikuti sepenuhnya lunas Islam.

“Syabas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan undang-undang dan agama termasuk Menteri Pengangkutan yang giat melaksanakan draf pindaan pada peringkat kementerian masing-masing,” katanya.

Ahmad Tarmizi berkata, pihaknya menyokong pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) membabitkan peruntukan berkaitan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian iaitu Seksyen 44 (Akta 333) yang juga menyabitkan individu memandu di bawah pengaruh alkohol atau apa-apa bahan memabukkan mengikut Seksyen 45 akta yang sama.

“Walaupun tidak terlibat dalam apa-apa kemalangan, proses ini akan menyempitkan peluang untuk individu memandu dalam keadaan mabuk,” katanya.