Dua sindiket dadah di Johor tumpas

Lukas (tengah) menunjukkan salah satu pistol yang dirampas.
Lukas (tengah) menunjukkan salah satu pistol yang dirampas.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dadah bernilai RM351,173 berjaya dirampas susulan kejayaan Polis Johor menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah berbeza di negeri ini, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Johor, Asisten Komisioner Lukas Aket berkata, kejayaan itu turut membawa kepada penahanan lapan lelaki termasuk dua lelaki warganegara Indonesia.

Menurutnya, dua sindiket yang ditumpaskan di Muar dan Batu Pahat itu juga disyaki telah bergerak aktif sejak sebulan yang lalu.

“Pada 17 Januari lalu, kira-kira jam 9.30 malam sepasukan anggota dan pegawai JSJN Muar telah terlibat dalam satu serbuan di sebuah pondok yang juga bengkel motosikal haram di Taman Aman, Muar.

“Daripada serbuan dilakukan, kita telah berjaya menahan tujuh lelaki termasuk dua warga Indonesia berusia lingkungan 22 hingga 36 tahun.

“Kesemua mereka yang juga didapati positif dadah jenis methamphetamine ditemui bersama 1.05 kilogram dadah jenis syabu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Lukas berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi tangkapan itu juga kemudiannya menemui dua pucuk pistol jenis revolver bersama sebutir peluru hidup.

Bagaimanapun, katanya, polis masih menjalankan siasatan terperinci untuk mengetahui sama ada senjata api itu pernah digunakan (dalam kes jenayah) atau di mana ia diperolehi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bagi serbuan di Batu Pahat yang dilakukan pada 18 Januari lalu, beliau berkata, polis telah melakukan tiga serbuan berasingan sebelum menahan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan di semua lokasi kemudiannya menemui sejumlah dadah iaitu syabu seberat 2.135kg dan heroin seberat 6.945kg,” katanya.

Beliau berkata, daripada kesemua sebuan untuk kedua-dua sindiket ini, polis turut merampas empat jenis kereta, sejumlah wang tunai, dan barang kemas bernilai RM137,153.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kesemua dadah yang dirampas ini bukan diproses di Johor tetapi digunakan untuk tujuan pengedaran untuk keperluan penagih tempatan.

“Kesemua yang ditahan kini sudah mendapat perintah reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.