Lagenda hoki perlu dana rawatan jantung


Ahmad Sofian kini menerima rawatan akibat tekanan darah tinggi serta darah beku di sebuah hospital.
Ahmad Sofian kini menerima rawatan akibat tekanan darah tinggi serta darah beku di sebuah hospital.
A
A
A

BEKAS atlet kebangsaan, Ahmad Sofian Zulkifli, 54, memerlukan dana dianggarkan berjumlah RM70,000 bagi menjalani prosedur pemasangan ’bateri’ jantung akibat lemah jantung.

Bekas penjaga gol pasukan hoki kebangsaan dan pemain bola sepak Perak itu kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital pakar swasta di sini.

Presiden Konfederasi Hoki Kebangsaan (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, Ahmad Sofian dimasukkan ke hospital tersebut akibat menghidap tekanan darah terlalu tinggi selain mempunyai darah beku di bahagian otak.

“Kini beliau dalam keadaan baik tetapi pada masa sama, beliau mengalami masalah jantung. Jadi kita cuba memberi rawatan terbaik termasuk membawanya ke Institut Jantung Negara (IJN).

“Bagaimanapun rawatan jantung tidak boleh dilakukan sehingga beliau benar-benar pulih dari tekanan darah dan darah beku itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, MHC memantau rapat perkembangan terkini Ahmad Sofian.

Sementara itu, isterinya, Hamizah Osman, 49, berkata, suaminya itu kini stabil di bawah pemantauan pihak pakar perubatan selepas mengalami tekanan darah tinggi.

"Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan keadaan suami terutama mereka yang tidak jemu berdoa dan memberikan bantuan seperti Old Boys King Edward VII, rakan bola sepak dan hoki seangkatan terutama Yeop 90's serta keluarga dan kenalan lain.

Artikel Berkaitan:

"Tak lupa juga buat badan-badan sukan seperti MHC, Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri Perak, Yayasan Kebajikan Atlet (Yakeb) dan sebagainya," katanya.

Hamizah berkata, badan-badan tersebut telah menghubunginya dan sedang mengusahakan bantuan untuk Ahmad Sofian menjalani rawatan berkenaan.

Sementara itu, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak dalam kenyataan kepada Sinar Harian menjelaskan pihaknya telah memberikan sumbangan wang pada 8 April lalu menerusi akaun bank kerana ketika itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Katanya, sumbangan tersebut di bawah seliaan Unit Kebajikan Atlet Negeri Perak, MSN Perak.