X

Kindly register in order to view this article
!

Kes demam denggi di Pulau Pinang turun 86.55 peratus

Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A

GEORGETOWN - Kes demam denggi di Pulau Pinang mencatatkan penurunan sebanyak 86.55 peratus dengan hanya 365 kes direkodkan bagi tempoh awal Januari hingga 30 Mei lepas, berbanding 2,743 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin berkata, bagi tempoh sama, hanya satu kematian akibat demam denggi dilaporkan tahun ini berbanding lapan kematian pada 2019.

"Bagi minggu ke-22 tahun ini iaitu 24 Mei hingga 30 Mei, sebanyak 20 kes denggi telah dilaporkan berbanding 13 kes pada minggu ke-21, iaitu peningkatan tujuh kes namun secara kumulatifnya, terdapat 365 kes sehingga 30 Mei dan ia menurun sebanyak 2,378 kes berbanding tempoh sama tahun lepas," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ketika ini, kata beliau, terdapat tiga lokaliti wabak terkawal iaitu di lokaliti Taman Air Itam dan Desa Baiduri di daerah Timur Laut serta lokaliti Taman Dahlia di daerah Seberang Perai Utara.

Beliau berkata, bagi kes chikungunya, sebanyak 63 kes direkodkan sehingga 28 Mei lepas, dengan daerah Timur Laut mencatatkan kes paling tinggi iaitu sebanyak 36 kes diikuti Barat Daya (26 kes) dan Seberang Perai Tengah (satu kes).

Tambahnya, ketika ini terdapat beberapa kes aktif chikungunya di daerah Timur Laut iaitu Desa Baiduri, Flat Padang Tembak, Lorong Sempadan, Taman Air Itam dan Desa Mawar.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) juga mengingatkan masyarakat agar terus mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghentikan penularan denggi dan chikungunya iaitu dengan melakukan pemeriksaan dalam rumah dan kawasan sekitar bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes setiap minggu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!