Jangan pertikai kuasa Sultan Johor bubar DUN

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kuasa Sultan Johor untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tidak perlu dipertikaikan mana-mana pihak.

Exco Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ), Mohd Fared Mohd Khalid berkata, walaupun kerajaan negeri berhak menasihati, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkuasa penuh membuat keputusan sendiri untuk membubarkan DUN.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, perkara tersebut sudah termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan (Johor) 1895.

"Perkara ini sudah disebutkan dalam Fasal 7(1) dan diperkukuhkan lagi dengan Fasal 23(2) Undang-undang Tubuh Kerajaan (Johor) 1895 iaitu Sultan Johor boleh menangguhkan atau memansuhkan DUN.

"Johor tidak pernah menafikan prinsip Raja Berperlembagaan di Malaysia. Bahkan itulah keunikannya. Undang-undang Tubuh Kerajaan (Johor) 1895 ada sifirnya untuk sebarang kemelut dalam Johor," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Johor sedia bubar DUN Johor

Faham, patuh titah Sultan Johor

Sultan Johor semalam bertitah kepada Royal Press Office (RPO) yang disiarkan dalam Facebook rasminya, baginda sedia membubarkan DUN Johor sekiranya perebutan kuasa terus berlaku dalam kalangan wakil rakyat di negeri ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, baginda tidak mempunyai kuasa mutlak berbuat demikian kerana mengikut Perkara 23(2) Perlembagaan Johor seseorang sultan boleh membubarkan DUN Johor namun tidak bersifat muktamad dan tidak boleh berdiri sendiri.

Pada 30 Mei lalu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub memberi gambaran Pakatan Harapan (PH) mungkin dapat merampas semula Putrajaya daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum Julai ini dan gelombang perubahan kemungkinan akan bermula di Johor.

Artikel Berkaitan:

Mohd Fared berkata, undang-undang tubuh negeri itu masih lagi digunakan sehingga kini dan apabila berlaku sesuatu krisis akan menjadi rujukan.

Sehubungan itu, katanya, adalah tidak wajar mana-mana pihak menidakkan kuasa Sultan Johor terutama dalam penyelesaian konflik politik di negeri ini.