Beza pada bukti dan fakta kes

Pembantu kedai aksesori kereta, Khor Yong Zhang yang videonya tular di media sosial apabila merempuh seorang penghantar makanan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
Pembantu kedai aksesori kereta, Khor Yong Zhang yang videonya tular di media sosial apabila merempuh seorang penghantar makanan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
A
A
A

PERBEZAAN bahan bukti serta fakta kes boleh menjadi elemen utama dalam penentuan sesuatu hukuman atau pertuduhan mengikut undang-undang berbeza.

Peguam, Syahredzan Johan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan dua perkara itu juga yang diambil kira oleh pihak pendakwaan yang menentukan pertuduhan berbeza bagi dua kes pemandu mabuk yang melanggar mati seorang kakitangan Alam Flora di Kuantan, Pahang pada 25 Mei lalu dan kes seorang penghantar makanan yang maut di Kuala Lumpur kelmarin.

“Saya tidak begitu pasti mengapa pihak pendakwaan memilih untuk mendakwa di bawah dua undang-undang berbeza iaitu Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk kes memandu bawah pengaruh minuman keras.

“Tetapi selalunya, keputusan untuk mendakwa bergantung kepada bahan bukti yang ada dan sama ada pertuduhan tersebut dapat dibuktikan. Jadi saya fikir, pihak Pendakwa Raya perlu terangkan kenapa terdapatnya perbezaan dalam keputusan mendakwa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Pada 25 Mei lalu, seorang peraih ikan, Teoh Kian Peng, 42, dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sehingga merempuh kereta yang dipandu seorang kakitangan Alam Flora sehingga kemalangan didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang atas tuduhan membunuh.

Isnin lalu, seorang pekerja kedai aksesori kereta, Khor Yong Zhang, 21, yang didakwa memandu dalam keadaan mabuk mengaku tidak bersalah melanggar seorang penghantar makanan sehingga menyebabkan kematian dalam kejadian di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Tun Razak.

Yong Zhang bagaimanapun didakwa mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000, penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun serta lesen memandu dibatalkan.

Syahredzan berkata, adalah lebih sukar untuk membuktikan elemen-elemen pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berbanding dengan Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan.

Artikel Berkaitan:

Peraih ikan, Teoh Kian Peng, 42, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan pada Isnin lalu atas tuduhan membunuh Irwan Herman Kamarudin yang maut selepas keretanya dirempuh sebuah kereta dipandu melawan arus di Jalan Pintasan Kuantan.
Peraih ikan, Teoh Kian Peng, 42, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan pada Isnin lalu atas tuduhan membunuh Irwan Herman Kamarudin yang maut selepas keretanya dirempuh sebuah kereta dipandu melawan arus di Jalan Pintasan Kuantan.

“Walaupun Seksyen 302 Kanun Keseksaan membawa hukuman gantung sampai mati, tetapi kebimbangan saya adalah elemen pertuduhan, terutama sekali niat membunuh itu, sukar untuk dibuktikan melangkaui keraguan munasabah dan akhirnya tertuduh akan terlepas.

“Daripada tuduh bawah Seksyen 302, mungkin pertuduhan boleh dibuat di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kematian yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh. Walaupun bukan hukuman mati, tetapi pesalah boleh dikenakan penjara sehingga 30 tahun,” katanya.

Bukan pilih bulu

Sementara itu, Pakar Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, beliau tidak melihat terdapat isu pilih bulu dalam kedua-dua kes berkenaan walaupun pertuduhan dibuat mengikut dua undang-undang berbeza.

Beliau berkata, Pendakwa Raya akan memilih tuduhan yang pada hemat mereka akan dapat mensabitkan orang kena tuduh dan yakin bukti cukup kerana perbuatan lebih jelas sama ada daripada aspek niat atau aspek pengetahuan yang boleh menyebabkan kematian.

Menurutnya, kesalahan di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 lebih khusus untuk pemanduan mabuk akibat dadah dan alkohol, sementara di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan ialah kesalahan menyebabkan kematian dengan niat atau pengetahuan bahawa perbuatan boleh menyebabkan kematian dan hukumannya lebih berat iaitu hukuman mati.

“Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 tidak perlu tunjuk niat hendak menyebabkan kematian, cuma tunjuk ada kandungan alkohol melebihi had dan ada kematian akibat kemalangan tersebut. Jadi, beban bukti lebih mudah berbanding membuktikan niat dan pengetahuan untuk menyebabkan kematian di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Jadi pemilihan terletak kepada Pendakwa Raya yang bergantung kepada fakta kes dan keterangan secara keseluruhan. Kalau Pendakwa Raya yakin bahawa Seksyen 302 boleh dibuktikan, maka mereka akan memilih Seksyen 302 kerana ia membawa hukuman lebih serius,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Nik Ahmad Kamal berkata, mahkamah akan bergantung kepada tuduhan yang dibawa oleh Pendakwa Raya dan secara luaran tampak dua kes yang sama dituduh di bawah dua undang-undang berbeza.

“Peguam Negara sebagai Pendakwa Raya mempunyai budi bicara tuduhan yang akan dikenakan dan disebut dalam perkara 145 Perlembagaan Persekutuan. Beliau mempunyai alasan dan justifikasi tertentu untuk membuat pilihan tersebut dan mahkamah setakat ini tidak mempersoalkan pilihan Peguam Negara.

“Beliau juga akan mengambil kira kepentingan awam sebagai kriteria yang diutamakan ketika membuat pilihan,” katanya.