Lima ditahan bantu siasatan kematian lelaki warga India

No Image Caption
A
A
A

KLANG - Polis menahan lima lelaki di sekitar daerah ini semalam bagi membantu siasatan berkaitan kes seorang lelaki warga India yang ditemui mati.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 32 hingga 47 tahun itu ditahan antara jam 10.30 pagi hingga 3.30 petang.

Menurutnya, polis turut merampas lima telefon bimbit, sebuah forklift serta beberapa barang selain sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.

"Kesemua suspek dipercayai rakan sekerja mangsa di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

"Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti motif kejadian sama ada berunsur jenayah atau kemalangan di tempat kerja," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, berhubung bedah siasat mangsa di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, mangsa didapati mengalami luka berukuran 13 sentimeter (cm) di bahagian dada dan 4 cm di belakang badan dipercayai akibat tusukan disyaki forklift.

Terdahulu, mayat lelaki berusia 21 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah di tepi Jalan Sungai Pinang, Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Sabtu lalu.

Artikel Berkaitan: