Kabinet tentukan kadar baharu tiket feri di Kedah

Azman (kanan) selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Konsortium Pengusaha Feri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Azman (kanan) selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Konsortium Pengusaha Feri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan membawa cadangan kenaikan tambang feri dan bantuan subsidi kepada pengusaha feri di negeri itu ke pengetahuan Kementerian Pengangkutan untuk dibincangkan di peringkat Kabinet.

Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Kedah, Azman Nasrudin berkata, cadangan kenaikan harga tiket feri sudahpun diluluskan oleh kerajaan negeri pada penghujung 2019.

Bagaimanapun, perancangan untuk membawa cadangan tersebut ke peringkat Pusat tergendala disebabkan ancaman koronavirus (Covid-19) selain peralihan kuasa di peringkat Pusat pada Februari.

"Tambang feri di Kedah tidak pernah naik sejak tahun 2007. Sebelum ini konsortium feri telah menanggung pelbagai beban kos sejak 13 tahun lalu dan selepas datangnya ancaman Covid-19, pengusaha feri sudah tidak mampu bertahan lagi.

"Kadar kenaikan tambang feri di Kedah tidak akan membebankan, malah sehingga kini kadar tiket di negeri ini adalah paling rendah berbanding kadar tiket feri di negeri-negeri lain," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Konsortium Pengusaha Feri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Azman (tengah) mendengar penjelasan daripada wakil-wakil pengusaha feri berhubung masalah yang dihadapi oleh mereka sepanjang tempoh PKP.
Azman (tengah) mendengar penjelasan daripada wakil-wakil pengusaha feri berhubung masalah yang dihadapi oleh mereka sepanjang tempoh PKP.

Ulas Azman lagi, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, jumlah perjalanan feri menurun dari 10 kepada dua sahaja.

"Penjarakan sosial juga terpaksa dilakukan di dalam feri untuk mengelakkan penularan Covid-19 dan bagi feri yang mempunyai kapasiti sehingga 300 orang terpaksa dihadkan kepada 100 sehingga 150 penumpang sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang ini sudah ada peningkatan permintaan terhadap feri dan kita boleh mohon untuk dinaikkan kepada tiga atau empat (perjalanan feri). Sekurang kurangnya ekonomi itu dapat berjalan dengan rancak lagi. Kita akan bincang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN),"katanya.

Sebelum ini, media melaporkan tambang feri bagi laluan Langkawi ke Kuala Perlis serta Kuala Kedah dikenakan surcaj RM10 disebabkan oleh arahan penjarakan sosial, bagaimanapun arahan oleh konsortium itu dibatalkan disebabkan menerima rungutan orang ramai.