Agong zahir takziah pemergian legenda badminton Tan Aik Mong

A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas jaguh badminton negara, Tan Aik Mong.

Legenda badminton negara itu meninggal dunia pada usia 70 tahun akibat kanser hati semalam.

Menzahirkan rasa dukacita dan sedih dengan pemergian mendiang, Al-Sultan Abdullah berharap keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu itu.

“Jasa, bakti serta sumbangan mendiang kepada negara, khususnya kepada sukan badminton Malaysia, amat dihargai dan pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar pada negara.

“Mendiang merupakan seorang legenda yang telah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa pada tahun 1960-an dan 1970-an,” demikian menurut hantaran akaun Instagram Istana Negara hari ini.

Selain muncul juara acara perseorangan lelaki Kejohanan All England pada 1966, pencapaian terbesar mendiang ialah merangkul pingat emas dalam acara sama pada Kejohanan Badminton Asia 1971 di Jakarta.

Mendiang turut membantu Malaysia meraih gelaran naib juara kejohanan Piala Thomas pada 1970 di Kuala Lumpur dan merangkul dua pingat perak dalam Sukan SEAP 1973 (kini Sukan SEA) di Singapura.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu turut memegang pelbagai jawatan dalam Persatuan Badminton Malaysia termasuk sebagai Pengarah Kumpulan Pengurusan Bakat pada 2013. - Bernama

Artikel Berkaitan: