Agong zahir takziah kepada keluarga jemaah haji meninggal di Makkah

Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian keempat-empat jemaah haji itu dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu itu. - Foto FB Istana Negara
Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian keempat-empat jemaah haji itu dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu itu. - Foto FB Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga empat jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia semasa menunaikan ibadat haji di Makkah baru-baru ini.

Empat jemaah haji tersebut ialah Salinda Musni Salehan, 56; Mohd Zaini Md Esa, 60; Radzi Taib, 72; dan Bibi @ Hasbi Bujang, 74.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi hantaran di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian keempat-empat jemaah haji itu dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu itu.

"Seri Paduka berdua mendoakan agar roh-roh Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh," menurut hantaran itu.

Jemaah haji negara akan mula berangkat pulang ke tanah air Rabu ini (5 Julai) dan penerbangan akhir dijangkakan pada 31 Julai melibatkan keseluruhan 98 penerbangan. - Bernama