Penunggang motosikal maut kemalangan

Keadaan di lokasi kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Klang Lama, di sini, pada Sabtu.
Keadaan di lokasi kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Klang Lama, di sini, pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Klang Lama dari arah Puchong menghala ke Mid Valley, di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kes tersebut pada jam 2.45 petang.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku pada jam 1.05 tengah hari, kenderaan yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 20 tahun telah menukar lorong dari lorong ketiga untuk memasuki Jalan 1/137C, di sini.

"Seorang lelaki berusia 51 tahun menunggang sebuah motosikal di lorong kedua laluan yang sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang sebelah kiri kenderaan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Amihizam berkata, keemalangan itu mengakibatkan penunggang motosikal tersebut terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala serta maut di lokasi kejadian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-20719999 atau hotline trafik Kuala Lumpur di talian 0320260267/69," katanya.