X

Kindly register in order to view this article
!

Pasar raya dikompaun RM5,000 jual cili kering harga tinggi

Pemeriksaan pegawai KPDNHEP di sebuah pasar raya di Seri Manjung yang dikesan menjual harga cili kering melebihi harga kawalan ditetapkan.
A
A

IPOH - Sebuah pasar raya di Seri Manjung dikenakan kompaun RM5,000 selepas didapati menjual barangan kawalan iaitu cili kering lebih RM1.98 bagi satu kilogram daripada harga runcit ditetapkan.

Dalam pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Manjung sekitar jam 11.45 pagi hari ini, didapati premis yang telah lama beroperasi itu menjual pada harga RM17.98 sekilogram melebihi harga di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2020 peringkat runcit iaitu RM16.

Ketua Cawangan KPDNHEP Manjung, Wan Muhammad Badro Wan Mahmood berkata, pihaknya turut melakukan sitaan ke atas 2.6 kilogram dianggarkan bernilai RM93.46 selepas pemilik premis gagal menyempurnakan bayaran kompaun.

"Pemeriksaan dibuat selepas kita menerima aduan daripada orang awam bahawa pasar raya ini menawarkan cili kering pada harga tinggi.

"Siasatan lanjut kemudiannya mendapati premis ini telah melanggar Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 iaitu menjual atau menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal selain mengikut harga maksimum runcit yang ditentukan di bawah perintah kawalan harga dan anti pencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No.3) 2020," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiga peniaga di Taiping dikenakan kompaun serta merta RM1,000 selepas gagal meletakkan tanda harga ke atas barangan kawalan yang dijual.
Tiga peniaga di Taiping dikenakan kompaun serta merta RM1,000 selepas gagal meletakkan tanda harga ke atas barangan kawalan yang dijual.

Menurutnya, premis yang menjual barangan keperluan basah dan kering secara runcit itu mempunyai lesen runcit barang kawalan gula, minyak sasak dan tepung gandum yang masih sah tempoh.

"Ini merupakan tindakan pertama diambil ke atas pasar raya berkenaan dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan selanjutnya, termasuklah pertuduhan di mahkamah yang boleh disabitkan dengan denda maksimum tidak melebihi RM100,000," katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat ini, KPDNHEP Manjung telah merekodkan enam kes dikenakan tindakan kompaun serta merta membabitkan keseluruhan nilai kompaun RM20,500.

Katanya, bekalan barang keperluan asas untuk semua pengguna di seluruh Manjung dan Seri Iskandar adalah mencukupi dan setakat ini, tiada laporan yang diterima berkaitan pembelian panik atau kekurangan bekalan keperluan.

"Semua peniaga diingatkan supaya lebih beretika dan tindakan tegas akan diambil sekiranya gagal mematuhi semua peraturan-peraturan yang ditetapkan di bawah Akta yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP," katanya.

Dalam kes berasingan, tiga peniaga di Taiping dikenakan kompaun masing-masing RM1,000 selepas gagal meletakkan tanda harga ke atas cili kering dan tomato.

Ketua Cawangan KPDNHEP Taiping, Rozana Hashim berkata, cili kering dan tomato merupakan antara barang yang dikawal harganya dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2020.

"Ketiga-tiga peniaga berkenaan melakukan kesalahan di bawah Perintah 3 (1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Peruncit) 1993 dan dikenakan kompaun serta merta sebanyak RM1,000," katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan skim harga bermula 20 Mei hingga hari ini, KPDNHEP Taiping telah membuat pemeriksaan terhadap 601 premis perniagaan di peringkat borong dan runcit.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus